KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Pusat mengecam sekeras-kerasnya kenyataan veteran politik, Ronnie Liu yang didakwa secara biadab menyatakan bahawa Malaysia tidak akan dan tidak patut menjadi sebuah Negara Islam.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mohd Nor Hamzah berkata, penulisan politik berkenaan jelas membuktikan kebencian terhadap kesucian Islam serta usaha mendaulatkannya di negara ini.
Menurut beliau, tindakan Ronnie yang menyerang Islam di sebalik naratif Perlembagaan dan kepelbagaian bukanlah sesuatu yang mengejutkan, memandangkan beliau merupakan produk yang dibentuk dalam ekosistem politik DAP selama lebih 41 tahun.
”Laras pemikiran cauvinis dan sekularisme yang terpancar melalui kenyataan ini adalah manifestasi tepat kepada acuan ideologi asas DAP yang sentiasa ‘panas’ dan alah apabila menyentuh soal kesempurnaan syariat Islam.
”Hujah beliau yang menolak pentadbiran berteraskan syariat dengan melabelkannya sebagai mengeksploitasi agama mendedahkan wajah sebenar gagasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohd Nor mendakwa usaha mensekularkan negara sentiasa hidup subur melalui DNA politik bawaan DAP yang berterusan mencabar asas kenegaraan dengan memisahkan Islam daripada urusan pentadbiran dan politik.
Malah, beliau turut menepis dakwaan Ronnie mengenai ‘ekstremisme agama’ dan menegaskan bahawa laras pemikiran sedemikian yang sebenarnya mencetuskan ketegangan dalam negara.
”Golongan inilah yang secara halus dan terbuka menanam kebencian terhadap agama lain, khususnya terhadap kebangkitan Islam.
“Acuan pemikiran ini bertindak sebagai ekstremis radikal yang mengganggu keharmonian teguh yang telah lama terbina,” ujarnya.
Dalam masa sama, Dewan Ulama PAS Pusat turut memberikan peringatan keras kepada segelintir orang Melayu-Islam dalam DAP dan Pakatan Harapan (PH) agar tidak bersikap apologetik.
”Disebabkan kelemahan dan sikap menikus membela agama, laras pemikiran ini semakin berani menunjuk belang dan tidak lagi mempunyai rasa hormat terhadap agama Islam.
”Oleh yang demikian, seluruh umat Islam wajib bangkit dan bersatu hati menolak laras pemikiran radikal ini demi mempertahankan kesucian akidah dan kedaulatan agama,” katanya.










