KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta untuk tidak menjadikan kebiasaan pentadbiran sebelum ini untuk membina menara mercu tanda.
Sebaliknya, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, negara hari ini sudah cukup dengan bangunan hebat sedia ada seperti Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dan projek TRX serta menara lain.
Bukan itu sahaja, Anwar menegaskan pembangunan di ibu kota yang diperlukan penghuninya hari ini sepatutnya menumpukan kepada golongan peniaga kecil dan warung terutama dalam isu kebersihan.
“Saya kata cukup mercu tanda Twin Tower, TRX, saya kata okay.
“Bawah pentadbiran Anwar, saya tidak berhajat buat lagi mercu tanda, zaman Anwar yang fikir perlu ialah menjana keupayaan kota, contoh daripada segi kebersihan, keindahan dan ruang kepada golongan penjaja dan warung yang cecah ratus ribu keseluruhan.
“Tidak diberi tumpuan kerana gerai dan warung itu sangat jelik dan bila lihat sendiri umpamanya di Tangling dekat Bukit Aman ternyata kurang diberi perhatian.
“Sebab itu saya turun ke gerai setiap Jumaat. Ini maksud saya anjakan iaitu usaha sebenar untuk ubah yang memberi manfaat kepada majoriti rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 “Membangun Malaysia Madani” di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berharap pada tahun ini, akan terdapat 30 hingga 40 gerai peniaga kecil yang bersih dan indah dapat diwujudkan dalam usaha memberi manfaat kepada puluhan ribu warga miskin di ibu kota.
“Saya juga berharap rakan-rakan dan syarikat-syarikat besar dan GLC faham tujuan ini dalam program tanggungjawab sosial korporat bagi membantu menjayakan usaha ini,” katanya.
Sementara itu, katanya, pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu tidak sempat dibahaskan di Parlimen dan perlu dibentangkan semula kerana Pilihan Raya Umum Ke-15.