SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dakwaan pemberian wang kepada pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sekiranya terdapat bukti kukuh berhubung perkara itu.
Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang dakwaan berkaitan amalan sogokan perlu disiasat secara menyeluruh dan tindakan tegas mesti diambil sekiranya ia terbukti benar.
“Jika didapati benar dan jika ada bukti serta saksi, saya serahkan kepada SPR dan juga pihak polis untuk melakukan siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan yang tular baru-baru ini mengenai sebuah parti politik yang didakwa memberikan wang kepada pengundi.
Menurut Ahmad Zahid, amalan sedemikian tidak seharusnya berlaku kerana boleh mencemarkan proses demokrasi serta menjejaskan integriti pilihan raya.
“Saya tidak fikir perkara itu sepatutnya berlaku.
“Apatah lagi jika ia dilakukan oleh pihak-pihak yang berwibawa, maka kita harus menolak amalan itu,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan mana-mana parti atau individu yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut, sebaliknya menegaskan biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan secara bebas, telus dan mengikut lunas undang-undang.
Sementara itu, Polis Negeri Sembilan mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan sogokan terhadap anggota polis yang bertugas sempena PRN Negeri Sembilan.
Siasatan itu susulan dakwaan yang dibangkitkan oleh seorang aktivis yang mendakwa terdapat pemberian wang kepada anggota polis dan tentera yang mengundi awal.
Polis memaklumkan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan berkenaan serta memastikan tindakan sewajarnya diambil sekiranya wujud sebarang pelanggaran undang-undang.










