BN Sasar Pertahan 21 Kerusi DUN Melaka, Terbuka Jalin Persefahaman Menjelang PRN

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) bertekad mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya di Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasrat itu disampaikan Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang mahu memastikan semua kerusi tersebut kekal milik gabungan berkenaan.

Menurutnya, daripada keseluruhan 28 kerusi DUN di Melaka, BN akan memberi tumpuan untuk mempertahankan 21 kerusi yang disandang ketika ini.

“Ketua Menteri selaku Pengerusi BN Melaka telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau berazam mempertahankan semua 21 kerusi yang dimenangi BN.

“Sudah tentu akan ada perbincangan dan musyawarah dengan semua pihak, namun pendirian BN Melaka ketika ini adalah untuk mempertahankan kerusi sedia ada,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid menjelaskan BN tidak menutup pintu kepada sebarang bentuk kerjasama atau persefahaman politik menjelang PRN Melaka.

Beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan kerjasama akan diputuskan selepas rundingan antara kepimpinan BN Melaka dan kepimpinan pusat.

“Ketua Menteri Melaka sangat terbuka mengenai perkara ini dan kepimpinan BN di peringkat pusat akan dirujuk sebelum sebarang keputusan muktamad berhubung persepakatan atau persefahaman dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya, hari ini.

BBerkaitan

Latest articles