BN Negeri Sembilan Jelaskan Pendirian Tarik Sokongan: Fokus Krisis Adat, Bukan Perebutan Kuasa

SEREMBAN,— UMNO/Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menegaskan keputusan menarik sokongan terhadap Menteri Besar bukan berpunca daripada perebutan jawatan, sebaliknya berasaskan krisis melibatkan Institusi Adat dan Perlembagaan negeri yang menjejaskan keyakinan terhadap kepimpinan sedia ada.

Dalam dokumen penjelasan rasmi “Soalan Lazim UMNO & Barisan Nasional Negeri Sembilan”, parti itu menyatakan isu sebenar adalah kegagalan pengurusan krisis adat secara tertib, telus dan inklusif, termasuk ketidaklibatan Exco daripada UMNO/BN dalam perbincangan penting kerajaan negeri.

Menurut kenyataan itu, keyakinan terhadap Menteri Besar terjejas apabila kenyataan rasmi beliau berhubung keputusan Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April 2026 dipertikaikan oleh pihak adat sendiri, termasuk dakwaan bahawa tiada keputusan kolektif dicapai.

UMNO/BN Negeri Semnbilan juga turut mempersoalkan asas keputusan tersebut, termasuk keperluan pendedahan minit mesyuarat, senarai kehadiran dan bentuk persetujuan yang dicapai dalam sidang berkenaan.

UMNO/BN menegaskan mereka tidak mencampuri urusan adat atau menentukan pihak yang benar dalam pertikaian berkenaan.

Sebaliknya, parti itu menyatakan kebimbangan terhadap tindakan eksekutif kerajaan negeri yang dilihat membuat kenyataan muktamad dalam isu adat yang masih dipertikaikan, sekali gus mencetuskan kekeliruan awam dan krisis keyakinan terhadap pentadbiran negeri.

Dalam masa sama, UMNO/BN mengesahkan kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka sebulat suara hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan beliau.

Keputusan itu dikaitkan dengan tiga faktor utama:
• Krisis melibatkan institusi adat dan perlembagaan
• Kegagalan komunikasi dalam kerajaan negeri
• Kebimbangan terhadap kestabilan dan keharmonian rakyat

Dalam pada itu, UMNO/BN turut menolak dakwaan bahawa tindakan itu merupakan usaha “tebuk atap”.

Sebaliknya, mereka menegaskan pendirian dibuat secara terbuka dan mengikut lunas perlembagaan, serta bukan bertujuan merampas kuasa, sebaliknya untuk mengembalikan kestabilan pentadbiran negeri.

UMNO/BN menegaskan mereka kekal menjunjung Institusi Diraja dan tidak menentang Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Menurut kenyataan itu, fokus utama ketika ini adalah memastikan krisis diselesaikan mengikut proses perlembagaan, termasuk melalui Dewan Undangan Negeri sekiranya perlu, seperti usul undi tidak percaya.

Parti itu turut menegaskan fokus semasa bukan pembentukan kerajaan baharu atau kerjasama dengan mana-mana pihak, sebaliknya keutamaan diberikan kepada pemulihan kestabilan politik dan keyakinan rakyat.

UMNO/BN menambah bahawa kestabilan bukan sekadar kerajaan terus berfungsi, tetapi memerlukan ketelusan, penghormatan kepada institusi serta pengurusan krisis yang berhemah.

Berikut adalah kenyataan penuh yang dimuat naik

SOALAN LAZIM UMNO BARISAN NASIONAL NEGERI SEMBILAN.pdf

BBerkaitan

Latest articles