KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu berhati-hati dalam menentukan bentuk kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan mengambil kira sentimen dan realiti politik setempat.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pendekatan yang sesuai di negeri lain tidak semestinya boleh diterapkan di Melaka berikutan perbezaan sentimen akar umbi.
Menurut beliau, keadaan politik di Melaka mempunyai dinamik tersendiri dan tidak boleh disamakan dengan Johor atau Negeri Sembilan.
Beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik pada PRN Melaka terlebih dahulu perlu dibincangkan di peringkat kepemimpinan BN negeri sebelum dibawa untuk pertimbangan dan dimuktamadkan BN Pusat.
“Sentimen akar umbi (mengenai kerjasama politik bagi menghadapi PRN Melaka) bercampur-campur. Jadi kita lakukan kajian terperinci.
“Jangan masuk ke lubuk di mana keli tidak boleh hidup, ikan sepat tinggal tulang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia (WITEX) serta Festival Seni dan Kebudayaan Dunia, hari ini.
Kenyataan Ahmad Zahid itu dilihat memberi gambaran bahawa BN tidak mahu membuat keputusan terburu-buru berhubung bentuk kerjasama politik di Melaka, sebaliknya mahu memastikan sebarang strategi yang dipilih selari dengan kehendak dan penerimaan masyarakat setempat.










