BN Arau ‘Berduka’, Shahidan Berkemungkinan Tak Bertanding

ARAU: Kesemua bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Arau ditutup berkuatkuasa serta-merta, demikian menurut Penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Malam ini malam kesedihan teramat sangat. Semua bilik gerakan BN Parlimen Arau telah ditutup dan bendera telah diturunkan.

“Kali pertama dalam sejarah,” demikian ciapan Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Dipercayai penutupan bilik gerakan itu dilakukan oleh penyokong-penyokong kuat Shahidan yang begitu kecewa apabila beliau tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata sumber parti.

“Memang sedih kalau lihat suasana di Kementerian Wilayah hari ini, ramai sudah berkampung di sini. Ada juga tunggu di Arau. Suasana suram, YB Menteri juga kelihatan suram namun beliau tidak berkata apa-apa. Pegawai-pegawai beliau semua sudah sign out petang tadi apabila dapat khabar berita itu,” kata sumber itu.

Kerusi Parlimen Arau mula dipertandingkan pada 1974 dan Shahidan merupakan penyandang kerusi tersebut pada PRU7, PRU8, PRU13 dan PRU14.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang pada 1995, 1999, 2004 dan 2008 selain menjawat jawatan Menteri Besar Perlis.

Sebelum ini terdapat desas-desus yang mengatakan Shahidan Kassim mungkin tidak dapat mempertahankan kerusi Parlimen itu kerana bakal digugurkan daripada menjadi calon pada PRU15 bagi memberi peluang kepada calon muda.

BBerkaitan

Latest articles