Bersihkan Imej Dr Fathul Bari – Mohd Puad Diingatkan

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi didakwa membuat kenyataan palsu dan mengelirukan berhubung status keahlian Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya di dalam UMNO.

Adnan Abu Bakar, pegawai kepada Dr Fathul kemudiannya menggesa Mohd Puad membuat permohonan maaf secara terbuka.

Ini kerana kenyataan rasmi UMNO tidak pernah menyebut nama Dr Fathul dalam senarai pemimpin parti itu yang diminta tunjuk sebab mahupun digantung.

“Dr Puad Zarkashi perlu memohon maaf dan membuat kenyataan rasmi tentang kesalahan beliau menulis nama Dr Fathul Bari sebagai salah seorang dari mereka yang digantung keahlian.

“Kenyataan ini amat tidak bertanggungjawab kerana kenyataan rasmi UMNO Malaysia yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Ahmad Maslan tidak langsung menyebut nama Dr Fathul Bari, sama ada tunjuk sebab atau digantung.

“Kenyataan ini mengelirukan, palsu dan seolah-olah cuba ditokok tambah untuk niat tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Bukan itu sahaja, Adnan mengingatkan Mohd Puad tidak berlagak menjadi hero hingga mendahului kepimpinan UMNO khususnya Setiausaha Agung parti dalam mengeluarkan kenyataan penting itu.

“Bukan kerana nak jadi hero, sampai mengetepikan peranan SUA dan KPEN. Ini organisasi UMNO, bukan JASA (Jabatan Hal Ehwal Khas),” katanya.

Mereka meluahkan rasa kesal kerana imej Dr Fathul kini sudah terjejas dan terkesan dek kerana kenyataan gelojoh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu.

“The Damage is Done! Mohon maaf secara terbuka dan perbaiki semula nama baik Dr Fathul Bari. Tidak cukup sekadar tulisan ringkas ralat semata-mata.

“Saya berharap Dr Puad mengambil serius dan memperbaiki semula kenyataan yang tidak bertanggungjawab tersebut,” katanya lagi.

Jumaat lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemecatan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan penggantungan enam tahun keahlian bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang kemudiannya dipecat atas kehendak beliau sendiri.

Turut digantung keahlian bagi tempoh sama adalah Ketua UMNO Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

BBerkaitan

Latest articles