Beri Peluang Kepada Kerajaan Perpaduan

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Pada ketika artikel ini ditulis, Kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim telahpun lengkap dengan pelantikan menteri dan timbalan menteri kabinet yang dilantik dari pelbagai parti di Malaysia.

Pasca PRU-15 yang lepas, kita telah melihat bahawa tiada pemenang tunggal dari gabungan parti-parti yang bertanding, kerana tiada satupun dari kalangan mereka berjaya untuk mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Dengan kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong, kebuntuan yang tercetus beberapa hari selepas PRU-15 telah berjaya dipecahkan dengan persetujuan parti-parti seperti Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan parti-parti yang lain untuk bergabung dengan Pakatan Harapan bagi membentuk sebuah kerajaan perpaduan.

Dinamik perubahan politik Malaysia ini mencetuskan keterujaan dan menggamit imaginasi kita sebagai rakyat, kerana buat julung kalinya perseteruan antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (yang dahulunya dikenali sebagai Barisan Altenatif/Pakatan Rakyat) diketepikan demi pembentukan kerajaan perpaduan.

Lebih menarik lagi, selepas kerajaan ini ditubuhkan, Presiden UMNO (yang juga Pengerusi Barisan Nasional) telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, yang merupakan satu karakter yang sering dimomokkan sepanjang kempen PRU-15, bukan sahaja daripada kalangan calon Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, tetapi juga segelintir pemimpin Barisan Nasional sendiri.

Penulis bukanlah seorang penyokong Pakatan Harapan, Barisan Nasional mahupun Perikatan Nasional, namun pilihan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membawa parti beliau untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri adalah satu strategi politik yang rasional jika dibandingkan untuk menyokong Perikatan Nasional.

Menilai dari pandangan awam, penulis merasakan tiga Perdana Menteri sebelum ini tidak perlu dikitar semula kerana kita telahpun melihat keupayaan mereka dalam memerintah negara.

Tun Dr. Mahathir terlalu tua dan tidak proaktif untuk menjadi Perdana Menteri sehinggakan semasa mentadbir beliau tidak dapat memberikan solusi mengenai isu-isu yang perlu diselesaikan demi manfaat rakyat.

Tan Sri Mahiaddin @ Muhyiddin Yassin pula terlalu leka untuk mengekalkan kuasa sehingga membiarkan menteri-menteri beliau sendiri merencatkan usaha pemulihan negara semasa berlakunya ancaman Covid-19. (Jangan kita lupakan semasa pemerintahan beliaulah wujudnya terma seperti “Menteri Kilang” & “Menteri Doremon”)

Untuk Datuk Seri Ismail Sabri pula, beliau adalah pemimpin yang mempunyai potensi tinggi, namun disebabkan ketidakstabilan politik yang wujud akibat pergaduhan BN dan PPBM menyukarkan beliau untuk mentadbir dengan efektif.

Melihat ramalan dan jangkaan pakar-pakar ekonomi antarabangsa tentang cabaran hebat yang bakal berlaku di dalam tahun 2023, apakah kita sebagai sebuah negara mahu melihat corak pemerintahan yang sama ditonjolkan oleh ketiga-tiga Perdana Menteri sebelum ini?

Sudah tentu tidak! Pada ketika ini kita memerlukan sebuah kerajaan yang mempunyai strategi dan iltizam yang ampuh bagi menyelesaikan permasalahan yang sedang berlaku dan juga bagi melaksanakan pelan-pelan strategik yang benar-benar efektif untuk melindungi rakyat Malaysia.

Suka atau tidak kita wajar mengakui bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan telah lama mencanangkan bahawa pasukan beliau mempunyai formula yang ampuh bagi menyelesaikan masalah negara.

Dari sudut pembangunan ekonomi dan sosial, mereka seolah-olah telahpun mempunyai idea akan tindakan dan perancangan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan daripada pelbagai aspek pembangunan.

Ini berbeza dengan PPBM dan rakan-rakan mereka di dalam Perikatan Nasional yang lebih gemar bermain sentimen dan “fear mongering tactics” yang mensasarkan kepada strategi memomokkan Barisan Nasional dan DAP di dalam kempen-kempen mereka.

Penulis berpendapat, peluang perlu diberikan kepada kerajaan perpaduan ini untuk menonjolkan keupayaan mereka mentadbir negara.

Pada ketika ini, adalah penting untuk semua rakyat Malaysia memberi peluang kepada Perdana Menteri dan seluruh jentera kerajaan melaksanalan tugas, tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan kepada mereka.

Seperti biasa, kita digalakkan untuk terus mengkritik dan menegur kerajaan dalam segala hal, namun janganlah kita terlibat dalam usaha mengadu domba yang cuba dicetuskan sesetengah pihak untuk mewujudkan kesenjangan dalam pentadbiran negara.

Inilah masanya untuk kita menjadi seorang warganegara yang patriotik dan menyokong pentadbiran Malaysia yang diharap dapat mendatangkan manfaat kepada seluruh rakyatnya.

Nota: Penulis adalah seorang peguambela dan peguamcara/aktivis masyarakat yang bertugas di Selangor.

BBerkaitan

Latest articles