KUALA LUMPUR: Dua bekas pegawai kanan kerajaan termasuk bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan dilepaskan daripada tahanan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Kedua-duanya yang masing-masing bergelar ‘Tan Sri’ dan ‘Datuk Seri’ serta berusia 60-an dibebaskan selepas tempoh reman tujuh hari berakhir.
Menurut sumber seperti dilaporkan Harian Metro, kedua-dua individu terbabit dilepaskan selepas pegawai penyiasat SPRM selesai mengambil keterangan mereka.
Mereka sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan susulan penemuan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, sebelum ini memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, iaitu berkaitan penggunaan kedudukan untuk mendapatkan suapan.
Sebelum ini, SPRM turut menahan reman selama tujuh hari seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH bagi membantu siasatan sama.
Lelaki berusia 60-an itu kemudian dilepaskan pada 27 Ogos lalu.
Keseluruhannya, tujuh individu telah ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung laporan RCI berkenaan, termasuk empat bekas anggota pengurusan kanan TH.
RCI berkenaan ditubuhkan bagi meneliti pengurusan, operasi dan aset TH sepanjang tempoh enam tahun terbabit.
Antara perkara yang menjadi perhatian ialah dakwaan keadaan kewangan sebenar TH tidak didedahkan sepenuhnya, termasuk kerugian daripada pelaburan bermasalah yang tidak direkodkan.
Laporan itu turut menyentuh penggunaan kaedah ‘perakaunan kreatif’ yang didakwa membolehkan TH terus membuat agihan keuntungan tahunan walaupun kedudukan kewangannya berdepan masalah.
Selain itu, RCI mendapati antara faktor yang menyumbang kepada masalah kewangan TH ialah campur tangan politik dalam pelantikan ahli lembaga pengarah, pembayaran hibah yang tidak mampan serta tindakan Jabatan Audit Negara yang didakwa melunakkan beberapa dapatan audit bagi mengelakkan keyakinan pendeposit terjejas.










