PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi itu.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 60-an itu sehingga 27 Ogos depan dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini, selepas SPRM mengemukakan permohonan berkenaan.
Individu terbabit tiba di mahkamah kira-kira jam 9.38 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna jingga serta bergari sebelum dibawa masuk oleh pegawai SPRM.
Beliau dipercayai antara individu terbaharu yang dipanggil SPRM untuk membantu siasatan berkaitan laporan RCI TH.
Sumber sebelum ini memaklumkan bahawa individu berkenaan bukan sahaja pernah menerajui TH, malah mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat dan pernah memegang jawatan di beberapa syarikat utama negara.
Siasatan SPRM berkaitan laporan RCI itu sebelum ini turut menyaksikan tujuh individu ditahan atau dipanggil untuk memberi keterangan.
Mereka termasuk bekas CEO sebuah syarikat perkapalan, seorang pengarah syarikat pembinaan, bekas pengarah sebuah syarikat serta empat bekas pegawai pengurusan kanan TH.
Laporan RCI TH yang didedahkan selepas tempoh empat tahun itu mengemukakan 25 syor utama, antaranya bagi memperkukuh aspek ketelusan, profesionalisme dan tadbir urus institusi berkenaan.
Antara cadangan yang mendapat perhatian ialah supaya ahli politik yang masih aktif tidak dilantik menganggotai Lembaga Pengarah TH bagi mengurangkan risiko campur tangan politik dalam pengurusan institusi terbabit.
Dalam perkembangan berkaitan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum ini bertitah supaya siasatan terhadap laporan RCI TH diteruskan secara menyeluruh dan ‘sehingga ke lubang cacing’.










