SEREMBAN: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya Jumaat ini selepas melalui proses perbincangan bersama kepimpinan Barisan Nasional (BN), kata Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Beliau berkata, senarai barisan Exco itu akan dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sebaik sahaja mendapat persetujuan kepimpinan parti.
Menurutnya, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat bagi mendapatkan pandangan berhubung pembentukan kerajaan negeri, termasuk cadangan penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Perikatan Nasional (PN) dalam barisan Exco.
“Kalau ikut perancangan, kita mahu selesaikan pembentukan Exco minggu ini, sebelum Jumaat jika sempat. Titah Tuanku juga supaya perkara ini disegerakan agar pentadbiran negeri dapat berjalan dengan lancar.
“Kita akan membentuk kerajaan secara bersama. Sudah tentu kita akan mengambil kira wakil daripada semua parti komponen BN, bukan sahaja UMNO, malah MCA dan MIC. Semua perkara itu akan diberi perhatian dalam pembentukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pertama selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.
Terdahulu, Ismail yang juga ADUN Juasseh mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuanku Muhriz sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Mengulas mengenai jumlah anggota Exco, Ismail berkata, perkara itu masih belum dimuktamadkan, namun beliau berpandangan barisan seramai 10 anggota seperti diamalkan sebelum ini adalah paling sesuai bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan berkesan.
Katanya, soal pelantikan Exco kanan serta pembahagian portfolio juga masih belum diputuskan dan hanya akan diperincikan selepas rundingan bersama kepimpinan parti selesai.
“Penglibatan ADUN PN dalam barisan Exco juga akan dibincangkan bersama presiden,” katanya.
Menyentuh keutamaan pentadbiran bagi penggal baharu, Ismail menegaskan kerajaan negeri akan terus meletakkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sebagai agenda utama.
Beliau berkata, sebagai kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat, segala dasar dan perancangan pentadbiran akan tertumpu kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semalam, BN memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN memperoleh tujuh kerusi.
Keputusan itu membolehkan kedua-dua gabungan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.










