KUALA LUMPUR:Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin dilantik sebagai Penyelaras Parlimen Ampang baharu bagi memastikan penyampaian bantuan dan kebajikan kepada rakyat di kawasan berkenaan dapat diteruskan secara lebih tersusun, cekap dan berkesan.
Beliau berkata, amanah yang diberikan oleh Perdana Menteri itu akan digalas sebaiknya demi mengutamakan kesejahteraan penduduk Ampang.
Menurut Azman, selaras dengan tanggungjawab tersebut, beliau akan menyelaras usaha bersama Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) serta agensi-agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan setiap inisiatif dapat disampaikan secara berkesan.
”Penyampaian bantuan ini juga akan dikoordinasikan secara rapat bersama Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Parlimen Ampang, pemimpin masyarakat serta pihak-pihak berkaitan bagi memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan sebarang permohonan bantuan berkaitan kebajikan rakyat di Parlimen Ampang kini boleh dikemukakan terus kepada Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri untuk tujuan penyelarasan sewajarnya.
Tegas beliau, pihaknya komited melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat.
”Saya bersama pasukan komited untuk melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab, profesionalisme dan integriti demi memastikan kebajikan rakyat Ampang terus menjadi keutamaan,” katanya.










