​
​KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dijangka dibebaskan daripada tahanan reman pada jam 5 petang ini selepas pihak mahkamah menolak permohonan polis untuk melanjutkan tempoh reman terhadapnya.
​Peguam belanya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, keputusan itu dibuat oleh Majistret selepas mendengar bantahan keras daripada pasukan pembelaan berhubung permohonan sambungan reman selama tiga hari yang dikemukakan pihak polis.
​Menurut Amer Hamzah, permohonan lanjutan reman tersebut tidak perlu kerana anak guamnya sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan dijalankan.
​”Permohonan pihak polis untuk menyambung reman selama tiga hari telah ditolak oleh mahkamah. Insya-Allah, beliau akan dilepaskan petang ini kira-kira jam 5 petang selepas tempoh reman asal tamat.
​”Pihak kami telah membantah sekeras-kerasnya permohonan itu atas alasan siasatan boleh diteruskan tanpa perlu menahan reman Orang Yang Disyakki (OYDS). Anak guam kami sentiasa sedia memberi kerjasama pada bila-bila masa sekiranya diperlukan,” katanya pada sidang media di perkarangan luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini pada Khamis.
​Mengulas mengenai isu pakaian lokap dan gari yang dipakai Abdul Azeez ketika dihadapkan ke mahkamah semalam, Amer Hamzah menjelaskan perkara itu berlaku kerana anak guamnya berada di bawah tahanan dan jagaan pihak polis pada waktu berkenaan.
​Katanya, Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dikehendaki mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman sebelum dihadapkan ke Mahkamah Sesyen bagi pertuduhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
​”Semalam timbul isu kenapa beliau memakai baju lokap polis. Ini kerana pada masa material tersebut, beliau berada dalam jagaan dan tahanan pihak polis bagi siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
​”Jadi apabila dibawa ke mahkamah, beliau tertakluk kepada SOP polis yang mewajibkan penggunaan pakaian lokap dan gari. Ia bukan satu pilihan,” jelasnya.
​​Dalam pada itu, Amer Hamzah menegaskan bahawa kenyataan atau andaian daripada pihak tertentu berhubung isu pakaian lokap tersebut adalah tidak wajar dan berunsur tohmahan.
​”Jangan kita spekulasi atau cipta isu yang tidak sepatutnya. Fokus kepada isu siasatan sebenar. Sekiranya polis memerlukan kehadiran beliau lagi untuk membantu siasatan selepas ini, beliau sedia hadir pada bila-bila masa,” katanya.
​Siasatan terhadap bekas Ahli Parlimen Baling itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.










