SEBERANG PERAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan mencampuri kes rasuah membabitkan bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada pihak berkuasa.
Anwar berkata, surat yang didakwa dihantar Saravanan kepadanya berhubung tiga pertuduhan rasuah dihadapi bekas menteri itu akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pihak Peguam Negara untuk penelitian dan tindakan lanjut.
Menurutnya, beliau bagaimanapun belum menerima surat berkenaan dan hanya akan mengambil tindakan selepas ia diterima.
“Bila sampai ke situ… bukan urusan saya. Saya akan rujuk kepada SPRM, kepada Peguam Negara untuk mereka teliti.
“Kita harus beri ruang untuk siasatan diteruskan dan pendakwaan dan tidak membuat apa-apa kenyataan kerana belum pasti sehingga diputuskan mahkamah (mengenai kes Saravanan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sembilang, hari ini.
Penegasan Anwar itu hadir selepas Saravanan mengesahkan beliau menulis surat kepada Perdana Menteri berhubung pertuduhan rasuah yang dikenakan terhadapnya.
Timbalan Presiden MIC itu bagaimanapun menafikan surat tersebut bertujuan mendapatkan campur tangan Anwar untuk menutup atau menghentikan kes berkenaan.
Sebaliknya, Saravanan mendakwa surat itu dihantar bagi memohon supaya pertuduhan terhadapnya diteliti secara menyeluruh kerana beliau menyifatkannya sebagai tidak berasas.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tapah itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.097 juta yang dikaitkan dengan kelulusan kuota pekerja asing.
Dalam perkembangan sama, Anwar mengingatkan supaya semua pihak tidak membuat kesimpulan awal terhadap kes berkenaan memandangkan proses perundangan masih berjalan.
Tegasnya, ruang perlu diberikan kepada SPRM dan pihak pendakwaan menjalankan tugas masing-masing sebelum mahkamah membuat keputusan muktamad.










