Anwar Selesa Ke PAU, Masih Ingat Lirik Lagu UMNO

KUALA LUMPUR: Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU2023) dan tidak kekok menyanyikan lagu UMNO Bersatu, Bersetia, Berkhidmat seolah-olah menggamit kenangan lalu.

Untuk rekod, Anwar hadir ke PAU buat julung kalinya selepas 25 tahun tidak lagi me jadi ahli UMNO dan menubuhkan PKR.

Ditemui para pemberita di luar dewan dan ditanya mengenai perasaannya ketika menyanyikan lagu parti, Anwar menjawab;

“Masih ingat lagu UMNO,” katanya sambil senyum.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tambun itu memberitahu kehadirannya di PAU2023
kerana menyempurnakan tugas kepada negara, selain beliau selesa untuk hadir dan sudah biasa dengan suasana parti itu.

“Yang penting menyempurnakan tugas kepada negara, pengalaman peribadi itu penting tetapi ia tidak boleh mengatasi kepentingan rakyat dan kepentingan negara.

“Saya hadir semula kerana saya gunakan platform perpaduan ini untuk memperkukuh kerajaan dan memberikan manfaat kepada rakyat.

“Saya tentunya rasa selesa dan kerana sudah biasa dengan suasana itu termasuk menghadap lagu UMNO,” katanya ketika meninggalkan perkarangan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Terdahulu Anwar diiringi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO pertama kali selepas menjawat jawatan Perdana Menteri.

Turut hadir adalah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu, dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal.

Untuk rekod, kali terakhir Anwar menjejakkan kali ke PAU adalah pada tahun 1998 dimana beliau menjawat jawatan Timbalan Presiden UMNO sebelum dipecat.

BBerkaitan

Latest articles