Anwar Kepada Awang, “Lihat Laporan Dewan Diraja Selangor”

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu dirinya tidak terkejut dengan dakwaan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim kononnya kes yang dihadapi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sebagai satu cubaan melumpuhkan Perikatan Nasional (PN), terutama dalam tempoh berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Tegas Anwar, orang ramai perlu melihat semula laporan Dewan Diraja Selangor ke atas Menteri Besar Kedah hingga boleh menjejaskan kedudukan Raja-Raja.

“Ahli Parlimen Pendang itu memang komen dia seperti biasa tidak mengejutkan. Tapi kita tengok siapa yang buat laporan.

“(Laporan) Dewan Diraja Selangor itu kita kena tengok.

“Kemudian apa komen Sultan Selangor semalam, kes tak selesai, jadi saya ingat proses itu (dihormati),” katanya kepada pemberita di MSekin Wonderland, selepas merasmikan Sentuhan Agro Madani anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Terdahulu, Mohammad Sanusi hari ini berdepan dengan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Selayang.

Mengikut pertuduhan, Sanusi didakwa didapati melakukan perbuatan mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Awang, yang ditemui pemberita di perkarangan mahkamah mendakwa tindakan pendakwaan itu dianggap seperti klimaks dalam ‘melumpuhkan’ kemaraan PAS dan PN menjelang PRN pada 12 Ogos ini.

BBerkaitan

Latest articles