Anwar Jadi ‘Nyawa’ Ahmad Zahid?

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir mempersoal pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada beliau akan menyelamatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada kes perbicaraan mahkamah.

Ini setelah Anwar jelas menerima 30 ahli Parlimen UMNO Barisan Nasional (BN) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan dan memberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Ahmad Zahid.

“Perjuangan Zahid tertumpu kepada kemungkinan dia didapati bersalah. Walaupun sebelum PRU UMNO dakwa menolak Anwar dan DAP tetapi untuk menyelamat dirinya, Zahid sanggup bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

“Anwar terima UMNO dan BN untuk mendapat 30 wakil rakyat BN. Zahid diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri. Kita akan lihat sama ada Anwar akan selamatkan Zahid dari dibicara atau tidak. Apakah reformasi Anwar termasuk the rule of law,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mahathir mendakwa prestasi UMNO yang semakin merudum selepas Pilihan raya Umum ke 15 adalah disebabkan presidennya yang terdahulu tidak berjuang untuk bangsa dan negara.

Dr. Mahathir berkata, UMNO telah dikuasai oleh presiden yang sedang dibicara kerana rasuah.

“Zahid takut kalau dia tidak jadi Timbalan Perdana Menteri dia akan didapati bersalah. Sebab itu ia tidak benar pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden dalam mesyuarat agong UMNO.

“Dengan itu UMNO terus dikuasai oleh presiden. Besar kemungkinan dalam PRU kerusi UMNO merosot lagi. Penurunan prestasi UMNO disebabkan presiden-presiden yang menyeleweng. Perlembagaan UMNO memperuntukkan ahli menukar pemimpin. Tetapi ahli UMNO ternampak bersedia mengekalkan pemimpin yang sedang dicaj pun.

“Sekarang Presiden UMNO sedang hadapi caj,” katanya lagi.

Untuk rekod, Mahkamah Tinggi pada penghujung tahun lalu menetapkan keputusan sama ada Ahmad Zahid akan dibebaskan atau diperintahkan membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi akan diketahui pada 24 Januari depan.

Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah (CBT), lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan kebajikan yang diasaskannya itu.

Pada 23 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan rasuah berkaitan Visa Luar Negeri (VLN).

BBerkaitan

Latest articles