Anwar Balas Tun M, “Saya Bukan Boneka Sesiapa, Kegagalan Kamu Adalah Salah Kamu”

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan beliau bukan boneka kepada mana-mana pihak, termasuk rakan gabungannya, DAP.

Anwar menjawab dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya Kerajaan Perpaduan akan tumbang walaupun terdapat empat menteri DAP dalam pentadbiran Anwar.

Dr Mahathir berkata, ia boleh berlaku kerana DAP mempunyai seramai 40 wakil rakyat dalam Kabinet hari ini sekali gus kerajaan akan jatuh sekiranya mereka menarik sokongan.

“Saudara, yang menjadi Perdana Menteri itu saya. Saya bukan boneka sesiapa. Umur akan cecah 76 tahun tapi saya tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, jaga keharmonian dengan rakan sejawat itu penting,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam di sini hari ini.

Anwar juga mengingatkan Dr Mahathir bahawa DAP langsung tidak mengganggu urusan pentadbiran agama Islam dan kaum Melayu meskipun mereka berada di dalam kerajaan.

“Saya bukan mahu pertahankan kawan-kawan DAP. Mereka dalam Jemaah Menteri sudah tujuh bulan tapi mereka (menteri DAP) sekali pun tidak pernah pertikai program untuk orang Melayu dan Islam,” ujarnya.

Sehubungan itu, Anwar secara sinis mengingatkan Dr Mahathir untuk tidak meletakkan kegagalan sebagai Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh kepada pihak lain.

“Kalau kamu yang gagal dulu, kamu pimpin berpuluh tahun, itu salah kamu. Bukan salah penyokong kamu.

“Sejarah lalu biarlah berlalu. Bila bercakap soal sejarah, ramai yang terpalit. Mahu cari seseorang yang rekod bersih itu susah, yang cakap bersih ramai tetapi yang menyakau lagi ramai,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles