Annuar Persoal Keperluan Zahid Utus Surat Putus Kerjasama Dengan BERSATU

Selain ‘perang’ antara dua parti, nampaknya keadaan yang sama terus berlarutan di dalam UMNO itu sendiri membabitkan Ahli Majlis Tertingginya, Tan Sri Annuar Musa yang membidas tindakan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengutus surat memaklumkan parti itu enggan lagi bekerjasama dengan BERSATU pada pilihan raya umum akan datang.

Untuk rekod, Annuar dipecat sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) setelah dilihat sering menyebelahi pendirian BERSATU dalam isu kerjasama di dalam Perikatan Nasional (PN).

Annuar, pada hari ini berkata tidak ada keperluan untuk UMNO berbuat demikian kerana pada awal menjalin kerjasama antara parti, tidak ada pun surat menyurat dibuat.

“Justeru, tiada keperluan untuk diam-diam mengutus surat pemberitahuan untuk tidak bekerjasama,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Annuar menambah UMNO tidak perlu mengutus surat sedemikian kerana tempoh masih jauh ke hadapan dan tempoh penggal PRU15 hanya akan tamat pada tahun 2023.

“Macam-macam perkara boleh berlaku dalam tempoh yang panjang itu. Ia meletakkan parti pada posisi yang buruk.

“Apa lagi di saat parti perlu melalui pemilihan yang wajib tahun ini. Dasar parti semasa pilihanraya akan datang bakal ditentukan pemimpin yang memimpin semasa PRU diadakan.

“Banyak perkara boleh berlaku antara sekarang hingga tempoh Parlimen dibubarkan. Dengan pendirian pramatang ini, kita telah menjadikan diri kita tempang dan kuasa tawar menawar dalam kerajaan menjadi lemah,” katanya.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh percaya apa yang berlaku dalam UMNO ketika ini akan memberi kesan tidak baik kepada ahli di peringkat akar umbi.

Surat pemakluman UMNO itu telah dihantar kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 26 Februari lalu.

Sehubungan itu BERSATU, menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata ia akan mengadakan mesyuarat pada hari ini bagi memutuskan pendirian parti berhubung ketetapan UMNO itu.

Selepas itu ia dibincangkan juga dalam mesyuarat MT PN akan datang bersama parti komponen PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN.

BBerkaitan

Latest articles