Data Pengundi 222 Parlimen Dikuasai AI Asing, Ka Siong Desak Siasatan Segera

​KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong meluahkan rasa bimbang dan marah berhubung laporan terbaharu yang mendedahkan kebocoran serta penyalahgunaan data peribadi jutaan pengundi Malaysia oleh platform kecerdasan buatan (AI) luar negara.

​Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menegaskan bahawa amaran yang pernah disuarakan beliau sebelum ini mengenai kepentingan menjaga keselamatan data rakyat kini menjadi kenyataan yang membimbangkan.

​Menurut beliau, laporan yang dikeluarkan oleh syarikat AI terkemuka, Anthropic baru-baru ini mendedahkan satu bentuk manipulasi politik menggunakan AI generatif canggih, Claude, yang berada dalam kelas teknologi sama seperti ChatGPT.

​”Ini bukan manipulasi politik biasa, tetapi manipulasi menggunakan AI yang sangat serius.

​”Berdasarkan laporan tersebut, operasi ini menggunakan data banci sebenar, data pilihan raya serta jutaan rekod pengundi untuk menyasarkan kesemua 222 kawasan Parlimen di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan video pada Isnin.

​Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, apa yang lebih membimbangkan apabila data berkenaan didakwa dieksploitasi bagi menyentuh isu sensitif negara melibatkan kaum, agama dan institusi diraja (3R).

​Jelas beliau, laporan itu turut mendedahkan kewujudan kira-kira 1,000 akaun media sosial palsu, portal berita rekaan, serta cubaan menjana sejuta tontonan palsu bagi akaun Perdana Menteri.

​”Rakyat sudah dikhianati dan data kita dibocorkan kepada platform AI asing untuk tujuan memanipulasi pilihan raya.

​”Saya mahu tahu dari mana datangnya jutaan rekod pengundi ini? Siapa yang mempunyai akses?

“Adakah ia dibocorkan, dibeli, dikumpul daripada sumber terbuka atau diperoleh daripada sistem yang sepatutnya dilindungi?” soal beliau.

​Sehubungan itu, Ka Siong mendesak kerajaan agar tidak berdiam diri atau memekakkan telinga, sebaliknya memberikan penjelasan penuh dan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu berkenaan.

​Beliau turut menuntut akauntabiliti tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat tanpa cuba mempertahan atau menyorokkan kebenaran.

​”Kerajaan mesti memberikan jaminan jelas kepada seluruh rakyat bahawa data mereka dilindungi dan manipulasi AI sebegini tidak akan berulang.

​”Ini bukan lagi sekadar isu akaun palsu, tetapi melibatkan keselamatan data rakyat, integriti pilihan raya dan keselamatan negara yang mesti ditangani dengan tahap keseriusan paling tinggi,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles