Sultan Pahang Tegaskan Ru’RASA Bukan Untuk Dijual Atau Disewa

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi peringatan tegas kepada penerima Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) supaya tidak menjual atau menyewakan kediaman yang dikurniakan kepada mereka.

Baginda bertitah, rumah berkenaan disediakan khusus bagi memberi manfaat kepada penerima dan keluarga, justeru tidak seharusnya dijadikan aset untuk mendapatkan keuntungan.

“Janganlah fikir hendak jual atau sewakan. Sewakan pun saya tidak bagi. Ini khas untuk awak semua. Kalau Allah SWT sudah panggil kita (meninggal dunia), turun (diwarisi) ke anak cucu pula.

“Tidak boleh dijual atau disewakan,” titah baginda ketika Majlis Pengurniaan Kunci Ru’RASA Fasa 2 bagi daerah Kuantan dan Jerantut di tapak Rumah Ru’RASA Tanjung Lumpur, semalam.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, Dr Mubarak Saeed Ahmed Al Dhaheri; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), Datuk Ahmad Islanizam A Halim.

Titah berkenaan turut dikongsikan menerusi Facebook Kesultanan Pahang.

Dalam titah berasingan, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada UAE atas keprihatinan dan kerjasama negara itu dalam membantu rakyat Pahang, khususnya menerusi penyediaan kediaman serta pelbagai bentuk bantuan apabila diperlukan.

Baginda turut merakamkan doa agar Presiden UAE, Yang Amat Mulia Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, bersama keluarga serta seluruh rakyat negara itu sentiasa dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan keselamatan.

“Sekali lagi, saya ingin menyatakan penghargaan atas keprihatinan membantu rakyat saya di Pahang dengan menyediakan rumah dan beberapa bentuk bantuan lain apabila diperlukan.

“Kita sentiasa mendoakan kesihatan, kesejahteraan dan umur panjang kepada Yang Amat Mulia Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan serta keselamatan Yang Amat Mulia sekeluarga serta rakyat UAE,” titah baginda.

BBerkaitan

Latest articles