#BilNaikTNB: Pengguna Rungut Bil Elektrik Naik Mendadak, TNB Didesak Beri Penjelasan Terbuka

​KUALA LUMPUR: Isu kenaikan bil utiliti yang membebankan rakyat terus mencetuskan gelombang ketidakpuasan hati apabila aktivis kemanusiaan dan wartawan senior, Zainal Rashid Ahmad, mendesak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberikan penjelasan secara terbuka kepada umum.

​Beliau yang juga bekas penerbit TV menerusi hantaran di platform ZRA Strim meluahkan rasa kesal terhadap situasi yang disifatkannya sebagai tidak seimbang antara keuntungan syarikat gergasi itu dengan beban moral korporat terhadap lebih 10 juta pengguna.

​Menurut Zainal Rashid, adalah amat janggal dalam sejarah pemerhatiannya sebagai wartawan sejak tahun 1994 apabila beban sebahagian besar pengguna yang merintih sejak empat bulan lalu boleh diabaikan begitu sahaja.

​Beliau menarik perhatian kepada kedudukan kewangan TNB yang mengaut keuntungan melebihi RM4 bilion setahun pada 2025, sambil menegaskan bahawa kehebatan merancakkan perniagaan sepatutnya setara dengan tanggungjawab sosial korporat.

​”Pengguna menuntut penjelasan mengenai logik di sebalik kenaikan mendadak bil bayaran bulanan.

“Fokusnya, pengguna sangat terbeban dengan kadar tak masuk akal bagi bil bulanan sejak Jun 2026,” ujar beliau.

​Mengulas lanjut, Zainal Rashid turut mempersoalkan keberkesanan Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (Automatic Fuel Adjustment – AFA) yang mula menggantikan sistem lama Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) bermula Julai 2025 (diwartakan pada 2 Oktober 2025).

​Beliau menilai istilah “adil, telus dan mampan” yang sering dilaungkan TNB sebagai satu bentuk “jenaka sarkastik” berikutan lonjakan bil yang disifatkannya di luar kawalan.

​”Pelarasan kos yang dilakukan setiap bulan di bawah sistem AFA menyaksikan kenaikan bil pengguna ada kalanya melangkaui peratusan tinggi, antara 30 peratus hingga melebihi 50 peratus dalam tempoh empat bulan pergerakan bil.

“Pengguna mendesak perincian caj dijelaskan dalam bahasa mudah tanpa dibebani terma perniagaan yang mengelirukan,” jelasnya.

​Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan perhatian kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) di bawah bidang kuasa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) agar tidak terus mendiamkan diri.

​”Suruhanjaya Tenaga pula tentunya tidak eksklusif dan hanya mendiamkan diri setelah meluluskan pendekatan kaedah AFA pada Julai 2025.

“Suruhanjaya Tenaga perlu sedar, keputusan terdahulu kini sangat membebankan pengguna,” katanya.

​Sehubungan itu, kempen masyarakat sivil menerusi tanda pagar #BilNaikTNB akan terus digerakkan sebagai platform solidariti pengguna menuntut keadilan, selain menyeru orang ramai membongkar dan berkongsi pengalaman bil masing-masing secara berhemah dan beradab.

BBerkaitan

Latest articles