RAWANG: Kediaman peguam terkenal, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, diuji dengan insiden kebakaran yang berlaku pada awal pagi Selasa, namun musibah tersebut berjaya dikawal berkat tindakan pantas pasukan penyelamat.
Beliau berkongsi detik cemas itu menerusi catatan rasminya di Facebook sambi meluahkan rasa kesyukuran di atas pertolongan ALLAH SWT serta merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada pihak berkuasa yang bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau memuji kecekapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Rawang serta Kuala Kubu Baru yang bertindak pantas mengekang api daripada terus marak dan membahayakan kediaman penduduk berhampiran.
“Syukur Alhamdulillah dan terima kasih tidak terhingga kepada kesemua pegawai dan petugas Balai-balai Bomba Rawang dan Kuala Kubu Baru yang cukup cepat dan cekap dalam membantu sedaya upaya mereka memberhentikan kebakaran dengan pantas, daripada ianya merebak ke rumah-rumah jiran yang lain.
“Cuma ALLAH S.W.T boleh memberi anugerah atas bantuan ikhlas anda semua,” katanya.
Menghadapi dugaan berat tersebut dengan penuh ketenangan, beliau turut menitipkan ayat al-Ruju’ sebagai tanda redha dengan ketentuan Ilahi di sebalik insiden yang berlaku itu.
“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Allahumma’jurni fi musibati, wakhluf li khairan minha,” ujar beliau.
Tinjauan komen di media sosialnya dihujani ucapan doa serta solidariti daripada orang ramai yang mendoakan keselamatan beliau sekeluarga.










