Wanita Maut Ditikam Suami, 13 Tikaman Dipercayai Berpunca Cemburu

KULIM: Perasaan cemburu dipercayai menjadi punca seorang wanita maut selepas ditikam suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Tiram, Kulim Hi-Tech, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring, berkata suspek menyerah diri di Balai Polis Lunas tidak lama selepas kejadian.

Menurutnya, polis turut merampas sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam serangan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku menikam mangsa sebanyak 13 kali, dengan tujuh tikaman di dada, lima di bahagian perut dan satu di rusuk kanan.

“Kesemua tikaman dipercayai dilakukan menggunakan pisau lipat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syamsul berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

BBerkaitan

Latest articles