Amirudin Serah Keputusan PRK Selangor Kepada Speaker DUN, SPR

SHAH ALAM: Teka-teki sama ada Selangor bakal berdepan satu lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kini bergantung sepenuhnya kepada pengesahan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan muktamad mengikut peruntukan undang-undang.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri tidak akan campur tangan dalam proses berkenaan dan akan menghormati serta mematuhi apa sahaja keputusan yang diputuskan oleh pihak berkuasa berkaitan.

Menurut beliau, langkah pertama ialah Speaker DUN menentukan status kerusi berkenaan sebelum perkara itu dirujuk kepada SPR untuk tindakan selanjutnya.

“Kita kena akur kerana ia adalah keputusan suruhanjaya (SPR) berdasarkan pengumuman yang akan dibuat oleh Speaker,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, hari ini.

Amirudin berkata, kerajaan negeri sebelum ini telah memaklumkan bahawa Speaker DUN Selangor dijangka membuat pengesahan berhubung dakwaan membabitkan status seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), selepas perkara itu diteliti bersama penasihat undang-undang negeri.

Katanya, penelitian tersebut penting bagi memastikan sebarang keputusan dibuat berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Isu berkenaan tercetus susulan dakwaan seorang ADUN didakwa hilang kelayakan sebagai wakil rakyat, sekali gus menimbulkan kemungkinan berlaku kekosongan kerusi yang memerlukan PRK diadakan.

Mengulas kemungkinan pilihan raya kecil tetap diadakan walaupun tempoh penggal DUN Selangor kini hampir berakhir, Amirudin berkata perkara itu bukan berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

Sebaliknya, katanya, SPR akan menilai sama ada baki tempoh sebelum tamat penggal mencukupi untuk mengadakan PRK atau sebaliknya.

“SPR akan membuat pertimbangan sama ada tempoh berbaki mencukupi atau tidak dan sama ada perlu diadakan PRK. Jika perlu diadakan, kita akur kerana itu keputusan suruhanjaya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pejabat Speaker dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kedudukan kerusi DUN berkenaan dalam masa terdekat.

BBerkaitan

Latest articles