‘Al-Quran Petunjuk Berpolitik, Jangan Pisah Islam Dengan Siasah’ – Abdul Hadi

KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa al-Quran merupakan petunjuk mutlak dalam semua urusan kehidupan manusia, termasuk dalam bidang politik dan pentadbiran negara.

Beliau berkata, politik serta keadilan tidak boleh dipisahkan daripada akidah Islam, manakala tanggapan bahawa siasah tiada kaitan dengan agama adalah satu fahaman yang terpesong daripada ajaran sebenar.

Menurutnya, mana-mana pihak yang mendakwa diri berjenama ulama tetapi tidak memahami al-Din perlu mempelajari dan memahami al-Quran secara istiqamah, bukannya sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan terhadap pejuang Islam.

Abdul Hadi menjelaskan, al-Quran secara jelas menegaskan bahawa politik menjadi salah satu daripada tiga tujuan utama manusia diciptakan oleh Allah SWT.

“Tiga tujuan tersebut adalah untuk beribadat, melaksanakan peranan khilafah, dan memikul amanah menegakkan hukum dengan adil.

“Para ulama mentafsirkan perkataan khilafah sebagai usaha menegakkan al-Din (agama Islam) dan siasah dunia (politik mentadbir) dengannya,” katanya dalam hantaran Minda Presiden PAS pada Ahad.

Beliau menambah, kewujudan kumpulan atau parti politik Islam untuk menegakkan kebenaran adalah satu perintah yang dituntut dalam ajaran Islam bagi meneruskan perjuangan Rasulullah SAW.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang berkenaan turut menggesa masyarakat agar membuat perbandingan antara Perlembagaan PAS dengan parti-parti politik lain, khususnya Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Jelas beliau, Perlembagaan PAS secara meyakinkan menegaskan bahawa hukum Islam adalah sumber tertinggi yang wajib dirujuk menerusi al-Quran, al-Sunnah, ijmak ulama, dan qias.

“Saya menulis dengan merujuk Perlembagaan DAP, kenyataan serta ucapan pemimpinnya, bukan tuduhan kosong.

“Malangnya, ramai yang menulis sehingga berforum dan bermuzakarah dalam perkara nas yang nyata,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi memberi peringatan mengenai sejarah fahaman sekular yang cuba memisahkan politik daripada agama, seperti yang pernah dibawa oleh Ali Abdul Raziq pada tahun 1925 sebelum dihukum oleh Majlis Ulama al-Azhar dan ditolak oleh tokoh-tokoh ilmuwan Islam terkemuka.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak menyalahgunakan pandangan atau memetik fatwa bekas Ketua Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, Allahyarham Dr Yusuf al-Qaradawi secara sesuka hati.

“Beliau (Dr Yusuf al-Qaradawi) merupakan tokoh ulama politik yang berjuang, dihukum buangan dan dilarang masuk ke beberapa negara kerana keterlibatannya dalam perjuangan Islam.

“Bacalah semua buku dan fatwanya, jangan hanya dibaca secara tebuk-tebuk dan salah tafsir, sehingga menjadi pengkhianat ilmu Islam atau menulis dengan jahil murakkab,” tegas beliau.

BBerkaitan

Latest articles