KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah filem terkenal, Datuk Afdlin Shauki, telah mengemukakan Surat Tuntutan kepada aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai “Chegubard”, berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadapnya.
Firma guaman Thomas Philip Advocates & Solicitors, yang mewakili Afdlin Shauki, dalam satu kenyataan media hari ini mengesahkan bahawa notis rasmi tersebut telah disampaikan kepada Badrul Hisham.
Menurut firma berkenaan, tuntutan tersebut dibuat susulan penyiaran sebuah video di saluran YouTube “Agenda Daily”, yang kemudiannya ditular semula oleh seorang individu lain di platform TikTok dan Facebook, memaparkan kenyataan yang didakwa palsu dan mengelirukan terhadap anak guam mereka.
”Kenyataan-kenyataan tersebut menuduh anak guam kami melakukan perbuatan rasuah dan tidak jujur berhubung jawatannya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Ia merupakan satu fitnah bertulis yang amat serius,” menurut kenyataan itu.
Pihak peguam menegaskan bahawa Afdlin Shauki menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan berkenaan, yang disifatkan sebagai tidak berasas sama sekali serta diterbitkan tanpa memberi ruang kepada beliau untuk memberikan maklum balas terlebih dahulu.
Sehubungan itu, Badrul Hisham dituntut untuk memenuhi beberapa perkara dalam tempoh tujuh hari dari tarikh Surat Tuntutan tersebut diserahkan.
Antara tuntutan dikemukakan termasuk memadamkan video berkenaan beserta semua salinannya daripada semua platform media sosial di bawah kawalannya dengan serta-merta, selain mengemukakan permohonan maaf dan penarikan balik dakwaan secara terbuka tanpa syarat.
Beliau juga dikehendaki memberikan akujanji bertulis untuk tidak menerbitkan sebarang kenyataan lanjut yang mempunyai kesan serupa terhadap Afdlin Shauki pada masa hadapan.
Kegagalan untuk mematuhi tuntutan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan akan menyebabkan prosiding undang-undang dimulakan terhadap Badrul Hisham tanpa sebarang rujukan lanjut, dan beliau akan bertanggungjawab ke atas semua kos yang ditanggung.










