KUALA LUMPUR: Keputusan PKR untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bukan kerana tunduk kepada tekanan Gabungan Parti Sarawak (GPS), sebaliknya berlandaskan semangat kerjasama politik antara kedua-dua pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, keputusan itu tidak wajar ditafsirkan sebagai tindakan mengalah kepada ancaman GPS seperti didakwa Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.
“Ia kerjasama dan bukan tunduk,” katanya ringkas ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026-2030, hari ini.
Baru-baru ini, Chong mendakwa PKR menarik diri daripada PRN Sarawak sebagai pertukaran kepada sokongan berterusan GPS terhadap Kerajaan Persekutuan.
Chong sebelum ini menyifatkan keputusan berkenaan sebagai tindakan mengorbankan demokrasi di Sarawak demi kepentingan politik di peringkat Persekutuan.
Bagaimanapun, kepimpinan PKR Sarawak dalam kenyataan bersama pada 24 November lalu menjelaskan keputusan tidak bertanding dibuat bagi menghormati semangat kerjasama, persefahaman dan konsensus politik dalam Kerajaan Perpaduan.
Kenyataan yang ditandatangani Penasihat PKR Sarawak, Datuk Seri Hafsah Harun; Naib Presiden PKR, Roland Engan dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak, Mahmud Epah itu turut menyebut kepentingan mengekalkan kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan.
Antara pertimbangan utama ialah memperkukuh hubungan kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak, khususnya dalam pelaksanaan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain memastikan agenda pembangunan, pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat negeri itu terus diberi perhatian.
Dalam perkembangan sama, Chong mendakwa keputusan PKR itu memberi ruang kepada GPS menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tanpa semak dan imbang yang mencukupi.
Beliau turut menegaskan DAP Sarawak akan tetap bertanding bagi memastikan fungsi pembangkang terus dipertahankan, dengan parti itu dijadual mencabar GPS di 12 daripada 82 kerusi DUN.
Selain PKR, beberapa parti lain termasuk Barisan Nasional (BN), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Perikatan Nasional (PN) turut mengambil keputusan tidak menyertai PRN kali ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember ini.










