KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan pihak yang menguruskan peruntukan RM8.3 juta yang diluluskan kerajaan untuk kawasan Parlimen berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan perlu memberikan penjelasan terperinci mengenai saluran permohonan, pihak yang bertanggungjawab menguruskan peruntukan serta projek yang diluluskan supaya penggunaannya dapat dipantau secara telus.
Menurutnya, berdasarkan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, Tasek Gelugor merupakan kawasan Parlimen yang menerima peruntukan tertinggi dalam kalangan 66 kawasan Parlimen pembangkang.
“Saya mahu tahu siapa sebenarnya yang menguruskan peruntukan ini. Kalau bukan melalui Ahli Parlimen yang dipilih rakyat, siapa yang menjadi saluran untuk permohonan dan kelulusan projek?
“Adakah parti lain seperti PKR, DAP atau Amanah diberikan kuasa untuk menguruskan permohonan peruntukan di kawasan yang diwakili pembangkang?” soalnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Parlimen pada Rabu.
Wan Saiful berkata, beliau menghargai peruntukan yang diberikan kepada Tasek Gelugor, namun jumlah RM8.3 juta itu perlu disertakan dengan maklumat terperinci bagi memastikan penduduk mengetahui bagaimana wang berkenaan dibelanjakan.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mendedahkan senarai projek dan sumbangan yang diluluskan, termasuk lokasi pelaksanaan, tarikh kelulusan serta pihak yang mengemukakan permohonan.
Katanya, ketelusan itu penting supaya penduduk dapat mengetahui sama ada peruntukan berkenaan benar-benar dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan pembangunan di kawasan mereka.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan pendekatan kerajaan yang menyalurkan peruntukan kepada kawasan pembangkang melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), tanpa memberikan peranan yang jelas kepada Ahli Parlimen kawasan terbabit.
Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan mengapa pendekatan pengurusan peruntukan tidak dilaksanakan secara sama rata tanpa mengira parti yang diwakili seseorang Ahli Parlimen.
Sebelum ini, Mustapha memaklumkan kerajaan meluluskan RM451.098 juta bagi pelaksanaan 7,059 projek di 66 kawasan Parlimen pembangkang bagi tempoh Januari 2023 hingga 31 Oktober 2026 menerusi ICU, JPM.
Peruntukan berkenaan disalurkan bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan sumbangan berdasarkan keperluan setempat.










