Anwar Jamin Hak Penduduk Asal Dipertahan Menerusi RUU URA, Bukan Agenda Kaum Atau Pemaju

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan hak penduduk asal tidak akan dikorbankan dalam pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA), sekali gus menolak dakwaan ia dirangka bagi memenuhi kepentingan pemaju atau agenda perkauman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, penggubalan undang-undang itu bertujuan membolehkan kawasan perumahan usang dan daif, khususnya di Kuala Lumpur, dibangunkan semula dengan lebih teratur tanpa mengabaikan kepentingan penduduk sedia ada.

Menurutnya, keperluan terhadap URA semakin mendesak memandangkan pembangunan semula kawasan perumahan sebelum ini berdepan kekangan apabila memerlukan persetujuan 100 peratus penghuni.

Beliau berkata, keadaan perumahan yang daif tidak boleh dibiarkan berterusan hanya kerana kesukaran mendapatkan persetujuan semua pihak, namun pelaksanaannya mesti disertai jaminan jelas untuk melindungi hak penduduk asal.

“Saya tidak sanggup melihat perumahan begitu daif di Kuala Lumpur ini. Jadi harus dilakukan sesuatu dan perlu undang-undang dengan jaminan, ini saya setuju, jaminan yang jelas pertahankan hak penduduk asal,” katanya ketika program Dialog Negara yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 dan RTMKlik, malam tadi.

Dalam pada itu, Anwar turut menolak dakwaan RUU URA menjadi strategi pihak tertentu untuk menguasai kawasan perumahan, sebaliknya menegaskan kerajaan kekal komited mempertahankan kepentingan Melayu dan Bumiputera.

Sebagai bukti, beliau berkata, kerajaan buat pertama kali sejak negara mencapai kemerdekaan mengesahkan tanah seluas 50 ekar di Kuala Lumpur sebagai tanah rizab Melayu.

“Itu belum pernah berlaku. Jadi soal kita nak tolak ansur dengan tuntutan gerombolan pemodal, tak mungkin,” tegasnya.

Jelas beliau, kerajaan tidak akan berkompromi dengan tuntutan golongan pemodal sehingga menggadaikan kepentingan penduduk asal dan hak masyarakat Melayu serta Bumiputera.

BBerkaitan

Latest articles