227 Individu Ditangkap Benarkan PATI Tinggal Di Premis

KUALA LUMPUR: Seramai 227 individu ditangkap kerana disyaki membenarkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) tinggal di premis kediaman di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 sepanjang 2025 hingga 17 September 2026.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, seramai 96 individu ditangkap pada 2025, manakala 131 lagi ditangkap bagi tempoh sehingga 17 September 2026.

Beliau berkata, sebanyak 620 pendakwaan direkodkan di bawah seksyen sama dalam tempoh berkenaan, membabitkan 391 pendakwaan pada 2025 dan 229 pendakwaan sehingga 17 September 2026.

Menurutnya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut menerima 800 aduan berkaitan kediaman, masing-masing 691 aduan pada 2025 dan 109 aduan bagi tempoh sehingga 17 September 2026.

“Hasil tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan, seramai 8,453 PATI telah ditangkap di premis kediaman pada 2025, manakala 6,581 PATI ditangkap bagi tempoh sehingga 17 September 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu bagi menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) yang meminta perincian jumlah aduan, pendakwaan dan tindakan terhadap penyewa yang menyewakan rumah kepada golongan Rohingya serta PATI lain di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

Menurut Saifuddin, mana-mana individu yang mempunyai kepentingan, pengurusan atau kawalan terhadap sesuatu premis dilarang membenarkan PATI memasuki atau tinggal di premis berkenaan.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, pesalah boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI yang ditemukan di premis terbabit.

Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM60,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI.

“Kerajaan memandang serius perbuatan membenarkan PATI memasuki atau tinggal di mana-mana premis, termasuk premis kediaman yang disewakan.

“Sehubungan itu, JIM akan terus mempergiatkan risikan, pemeriksaan premis dan operasi penguatkuasaan secara bersasar serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati membenarkan PATI tinggal di premis yang berada di bawah pengurusan atau kawalan mereka,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles