KUALA LUMPUR: Kerajaan masih menunggu maklumat tambahan daripada KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd berhubung permohonan penubuhan Lapangan Terbang Kulim (KXP) untuk membolehkan penelitian semula dibuat terhadap projek berkenaan.
Kementerian Pengangkutan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu memaklumkan, pihaknya telah mengemukakan surat kepada KXP AirportCity Holdings pada 26 Mac 2025 bagi meminta maklumat lanjut berdasarkan ulasan kementerian dan agensi pusat terhadap permohonan penubuhan lapangan terbang itu.
Menurut kementerian, perkara berkenaan masih dalam tindakan KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd sehingga kini.
“Sehingga kini, perkara ini masih dalam tindakan KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd,” menurut jawapan itu.
Dalam pada itu, kementerian memaklumkan hasil dapatan Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (National Airports Strategic Plan atau NASP) akan diangkat untuk pertimbangan kerajaan.
Jawapan itu bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (Pokok Sena) yang meminta kementerian menyatakan status terkini kajian kebolehlaksanaan NASP berhubung projek Lapangan Terbang Kulim (KXP).










