Helios Solar, Galaxy Venus Meterai MoU Bekal Tenaga Boleh Baharu Kepada Pusat Data Di Perak

KUALA LUMPUR: Helios Solar AG menerusi anak syarikatnya, Helios Solar Park Sdn Bhd (HSP), memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Galaxy Venus Data Center Sdn Bhd (GDC) bagi meneroka kerjasama strategik membekalkan tenaga elektrik boleh baharu kepada pembangunan pusat data yang dicadangkan di Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Helios Solar AG, Datuk Ken Ong Thuan Ming berkata, perkembangan pesat industri pusat data di Malaysia membuka peluang besar kepada penyedia tenaga boleh baharu untuk memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat.

Beliau berkata, MoU berkenaan merupakan satu lagi langkah kumpulan itu dalam memperkukuh hala tuju pembangunan komersial portfolio tenaga solar, selain menyokong pembangunan infrastruktur digital mampan di Malaysia.

“Kami berbesar hati untuk meneroka kerjasama ini dengan Galaxy Venus Data Center.

“Perkembangan industri pusat data Malaysia menawarkan peluang besar kepada penyedia tenaga boleh baharu untuk menyokong permintaan elektrik yang semakin meningkat.

“MoU ini merupakan satu lagi langkah kumpulan dalam memperkukuh laluan pembangunan komersial portfolio tenaga solar kami, di samping menyokong pembangunan infrastruktur digital mampan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menerusi MoU itu, GDC dikenal pasti sebagai bakal pembeli tenaga elektrik boleh baharu daripada projek pembangunan Helios Solar Park di Gua Musang, Kelantan, di bawah Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).

Kerjasama dicadangkan itu akan menilai kebolehlaksanaan serta aturan komersial bagi pembekalan tenaga elektrik kepada pusat data berkenaan, termasuk potensi penjanaan tenaga boleh baharu, penyelesaian penyimpanan tenaga, sambungan grid dan bekalan elektrik sokongan.

Bagaimanapun, sebarang pengaturan pembekalan elektrik masih tertakluk kepada penilaian kebolehlaksanaan yang memuaskan, persetujuan terma komersial dan teknikal serta rundingan dan pemeteraian Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) yang muktamad.

Helios Solar Park merupakan projek kemudahan fotovolta solar berkapasiti 1,000 megawatt puncak (MWp) yang disokong sistem penyimpanan tenaga bateri berkapasiti 1,600 megawatt jam (MWh).

Projek berkenaan akan dibangunkan di kawasan seluas 3,000 ekar di Gua Musang, Kelantan, dengan operasi komersial disasarkan bermula antara 2028 hingga 2029.

Helios berkata, pengenalpastian GDC sebagai bakal pembeli tenaga elektrik itu berpotensi menjadi pencapaian penting dalam pembangunan komersial projek berkenaan, khususnya bagi mewujudkan prospek bekalan tenaga jangka panjang serta meningkatkan kepastian hasil projek.

Sementara itu, MoU berkenaan sebahagian besarnya tidak mengikat dari segi undang-undang dan merupakan langkah awal ke arah rundingan lanjut sebelum kerjasama itu dimuktamadkan menerusi perjanjian rasmi.

Galaxy Venus Data Center yang beribu pejabat di Singapura merupakan penyedia infrastruktur digital generasi baharu yang memberi tumpuan kepada pembangunan pusat data mampan, berprestasi tinggi dan berskala besar bagi memenuhi permintaan terhadap kecerdasan buatan (AI) serta pengkomputeran awan.

Helios Solar AG pula beribu pejabat di Munich, Jerman dan terlibat dalam pembangunan, pembiayaan serta pelaksanaan projek tenaga solar untuk pelanggan komersial, industri dan kediaman, selain taman solar berskala utiliti.

Kumpulan itu bermula di Malaysia pada 2010 sebagai penyepadu sistem solar sebelum berkembang ke pasaran antarabangsa dan kini beroperasi di Jerman, Malaysia, Singapura serta Kemboja.

BBerkaitan

Latest articles