Surat Bekas Ketua Pengarah MEIO Kepada CIA: AGC Putuskan Tiada Tindakan Lanjut

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap siasatan berhubung surat bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid kepada Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) yang memohon sokongan terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat pada 25 November 2025 selepas AGC meneliti hasil siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, siasatan polis mendapati tiada sebarang arahan atau kebenaran daripada pihak berkuasa kerajaan berhubung penghantaran surat berkenaan.

“Siasatan yang lengkap telah dijalankan dan mendapati tidak menjumpai sebarang arahan dan kebenaran daripada pihak berkuasa Kerajaan dalam isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (Labis) yang ingin mengetahui sama ada surat berkenaan dihantar dengan kebenaran atau arahan mana-mana pihak berkuasa kerajaan serta keputusan siasatan mengenainya.

Saifuddin berkata, PDRM menjalankan siasatan berhubung perkara itu menerusi laporan Polis Presint 7/8959/23.

Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kertas siasatan kemudian dirujuk kepada AGC pada 18 Disember 2023 untuk penelitian dan arahan selanjutnya sebelum keputusan tiada tindakan lanjut dibuat pada 25 November 2025.

BBerkaitan

Latest articles