Identiti Samaran, Formulasi Kimia Berubah Cabaran Kesan Pengedar ‘Piu-Piu’

KUALA LUMPUR: Penggunaan identiti samaran, akaun palsu dan perubahan formulasi kimia bahan sintetik baharu antara cabaran utama pihak berkuasa mengesan kegiatan pengedaran dadah ‘Piu-Piu’ di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kepelbagaian bahan psikoaktif baharu (NPS) serta perubahan struktur kimianya turut menyukarkan proses pengesanan awal, analisis forensik dan penentuan status perundangan bahan berkenaan.

Menurutnya, cabaran turut timbul apabila sindiket menggunakan teknologi digital, media sosial dan aplikasi komunikasi untuk memperluaskan pasaran serta menjalankan urusan secara lebih terselindung.

“Cabaran turut timbul apabila identiti sebenar pengedar sukar dikenal pasti, khususnya apabila digunakan akaun palsu, identiti samaran, nombor telefon prabayar atau individu perantara.

“Selain itu, perubahan komposisi bahan sintetik memerlukan analisis forensik dan bahan rujukan yang bersesuaian bagi menentukan kandungan serta status perundangannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu bagi menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) yang meminta penjelasan mengenai faktor penyalahgunaan dadah sintetik baharu seperti ‘Piu-Piu’ semakin berleluasa di Malaysia, termasuk kemudahan mendapatkan bahan dan kaedah pengedarannya.

Saifuddin berkata, ‘Piu-Piu’ bukan satu jenis dadah khusus, sebaliknya nama jalanan yang digunakan bagi merujuk kepada bahan, produk atau campuran tertentu yang boleh mengandungi dadah atau NPS.

Jelasnya, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan penyalahgunaan bahan berkenaan ialah kemudahan mendapatkan bahan, kepelbagaian NPS, permintaan dalam kalangan pengguna serta penggunaan teknologi digital sebagai medium pengedaran.

Mengulas penglibatan golongan muda, beliau berkata, kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati keinginan untuk mencuba menjadi faktor tertinggi iaitu 30.1 peratus, diikuti tekanan (20.9 peratus) dan pengaruh rakan (18.9 peratus).

Kajian sama turut mendapati bahan berkenaan diperoleh melalui pembelian sendiri sebanyak 53.4 peratus, manakala 43 peratus mendapatkannya daripada rakan.

Bagi menangani ancaman itu, Saifuddin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh keupayaan risikan, pemantauan ruang siber dan operasi penguatkuasaan bagi mengesan serta melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah, termasuk yang menggunakan platform dalam talian.

Katanya, kerjasama dengan agensi berkaitan, penyedia platform digital, institusi kewangan dan syarikat perkhidmatan penghantaran turut diperkasakan bagi mempercepat perkongsian maklumat, pengesanan transaksi, pengenalpastian suspek dan pengumpulan bahan bukti.

Dalam aspek perundangan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti keperluan menyenaraikan bahan NPS yang dikenal pasti dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952, tertakluk kepada penelitian dan proses perundangan yang berkuat kuasa.

BBerkaitan

Latest articles