KUALA LUMPUR: Cadangan menaikkan caj rawatan pesakit luar di fasiliti kesihatan kerajaan kepada RM10 tidak mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bimbang langkah itu menambah beban rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata, kadar sedia ada iaitu RM1 bagi rawatan pesakit luar am dan RM5 untuk rawatan di klinik pakar wajar dikekalkan kerana masih ramai rakyat berdepan tekanan kos sara hidup meskipun kadar inflasi negara rendah.
Menurutnya, kerajaan tidak seharusnya melihat cadangan kenaikan itu dari sudut kadar bayaran semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira kemampuan sebenar rakyat.
“Kalau pegawai tinggi duduk wad kelas pertama hospital kerajaan tak mengapalah. Kalau orang miskin masih kena bayar, saya tak setuju.
“Memang inflasi negara ini masih rendah namun saya tahu ada rakyat masih merungut (kos sara hidup tinggi),” katanya menerusi program Dialog Negara yang disiarkan di TV1 dan beberapa saluran televisyen lain, malam tadi.
Dalam perkembangan lain, Anwar mengingatkan doktor dan petugas kesihatan supaya tidak terlalu memilih lokasi penempatan sehingga mengabaikan keperluan perkhidmatan di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Katanya, kerajaan boleh mempertimbangkan permohonan pertukaran atau penyesuaian penempatan berdasarkan alasan munasabah, namun kepentingan penduduk di kawasan terpencil perlu diberikan keutamaan.
Beliau mengakui penempatan doktor di kawasan seperti Kapit, Sarawak dan Gua Musang, Kelantan mungkin berdepan cabaran kerana tidak semua petugas bersedia berkhidmat jauh dari bandar.
Bagaimanapun, katanya, isu penempatan itu bukan hanya membabitkan sektor kesihatan, malah turut melibatkan bidang pendidikan dan perkhidmatan awam lain.
Jelasnya, penempatan penjawat awam di kawasan pedalaman Sabah, Sarawak dan Semenanjung penting bagi memastikan rakyat di wilayah berkenaan tidak tercicir daripada menikmati kemudahan serta perkhidmatan kerajaan.










