Struktur Cukai Jalan EV Kekal Berdasarkan Kuasa Motor

KUALA LUMPUR: Kerajaan kekal menggunakan kuasa motor elektrik sebagai asas penetapan kadar cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan elektrik (EV) berdasarkan kajian menyeluruh yang telah dilaksanakan.

Kementerian Pengangkutan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu memaklumkan, pendekatan itu diambil kerana kuasa motor mempunyai kaitan dengan harga belian, saiz dan berat sesebuah kenderaan.

“Secara umum, semakin tinggi kuasa motor elektrik, semakin tinggi harga belian dan semakin besar serta berat kenderaan tersebut.

“Oleh itu, kuasa motor digunakan sebagai asas penetapan kadar LKM kenderaan elektrik,” menurut jawapan itu.

Kementerian menjelaskan, kadar baharu LKM bagi kenderaan EV atau Zero Emission Vehicle (ZEV) yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 adalah secara purata 85 peratus lebih rendah berbanding kadar kenderaan berenjin pembakaran dalaman (ICE).

Menurutnya, penetapan kadar lebih rendah itu bertujuan menggalakkan peralihan pengguna kepada kenderaan tanpa pelepasan karbon.

Dalam pada itu, sebanyak 174,686 kenderaan elektrik telah didaftarkan sehingga Ogos 2026, dengan motokar mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 130,229 unit atau 74.6 peratus daripada keseluruhan pendaftaran.

Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) menerusi soalannya meminta kerajaan menyatakan kesediaan menstruktur semula kadar cukai jalan EV dengan mengambil kira elemen segmen, prestij dan prestasi kenderaan, selain hanya berpandukan kuasa motor.

BBerkaitan

Latest articles