KUALA LUMPUR: Kontroversi kenyataan Ketua DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, berhubung arahan penutupan sementara premis perniagaan di Terengganu ketika solat Jumaat bukan sekadar mencetuskan kemarahan, malah berpotensi menghakis sokongan pengundi Melayu terhadap parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming, memberi amaran isu berkenaan boleh menjejaskan peluang DAP mempertahankan kerusi yang mempunyai jumlah pengundi Melayu yang besar, termasuk Bangi, Bentong dan Raub.
Menerusi beberapa hantaran di platform X, beliau mengambil kawasan Parlimen Bangi sebagai contoh bagaimana kontroversi tersebut boleh menenggelamkan rekod khidmat wakil rakyat DAP di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pengundi Melayu mungkin tidak lagi mengingati sumbangan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, sebaliknya lebih mengingati kenyataan Khoo berkaitan solat Jumaat apabila tiba PRU16.
Lebih membimbangkan, katanya, DAP berisiko kehilangan kerusi itu sekiranya Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan calon Melayu yang sederhana dan inklusif bagi mencabar Syahredzan.
“Sedih melihat kerja keras yang dilakukan Syahredzan dan pasukannya terjejas akibat tindakan dan kenyataan bodoh seperti provokasi yang dilakukan Khoo,” katanya.
Ong yang meninggalkan DAP pada Ogos lalu turut berpandangan kontroversi itu berpotensi memberi kesan lebih besar kepada parti berkenaan, khususnya di kawasan yang mempunyai komposisi pengundi Melayu yang signifikan.
Beliau juga menegaskan permohonan maaf daripada Khoo mahupun Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, tidak semestinya mampu memulihkan persepsi yang sudah terjejas dalam kalangan pengundi.
“(Ini) satu lagi contoh DAP yang menembak kakinya sendiri,” katanya.
Kontroversi itu tercetus selepas Khoo, yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka dan Setiausaha Pengelola DAP, mengkritik arahan penutupan sementara premis perniagaan di Terengganu pada setiap Jumaat bagi menghormati pelaksanaan solat Jumaat.
Hantaran berkenaan mengundang kecaman pengguna media sosial serta pemimpin politik daripada pelbagai parti, termasuk Pemangku Ketua PKR Melaka, Adam Adli dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar.
Bagaimanapun, Khoo hari ini tampil memohon maaf secara terbuka atas kenyataannya itu dengan mengakui pemilihan kata-kata dan nada yang digunakan telah menimbulkan salah faham serta menyinggung perasaan umat Islam.










