KUANTAN: Pengamal media berdaftar di Pahang bakal menerima sumbangan RM300,000 menerusi Belanjawan Pahang 2027 sebagai sebahagian usaha kerajaan negeri memperkukuh sektor media serta pembangunan seni, kebudayaan dan warisan.
Selain sumbangan kepada pengamal media, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM300,000 bagi Program Karya Anak Pahang dan Dana Media Kreatif.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Bagi memperkasa seni dan warisan tempatan, sebanyak RM2 juta diperuntukkan untuk Fiesta Tun Teja Aspirasi Anak Muda Pahang 1st, manakala Festival Bot Pahang 1st dan Program Future Leader Aspirasi Pahang 1st masing-masing menerima RM1 juta.
Kerajaan negeri turut memperkenalkan Inisiatif Bantuan Negeri Pahang Gig dengan peruntukan RM1.1 juta bagi membantu pekerja gig berdaftar yang mempunyai caruman aktif di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO.
Menerusi inisiatif itu, penerima layak akan mendapat sumbangan sekali bayar sebanyak RM300.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri mahu memastikan manfaat pembangunan dan kemakmuran Pahang dapat dinikmati seluruh rakyat tanpa ada golongan yang tercicir.
Bagi 2027, kerajaan negeri menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM1.507 bilion, dengan perbelanjaan mengurus dianggarkan RM1.502 bilion, sekali gus mencatat lebihan belanjawan RM5 juta.
Sebanyak RM454.4 juta pula disediakan bagi perbelanjaan pembangunan untuk membiayai pelbagai projek dan program yang dirancang.










