SEREMBAN: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, hadir ke Wisma UMNO Negeri Sembilan malam ini bagi menghadiri mesyuarat yang dipercayai melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan Perikatan Nasional (PN), ketika kemelut kedudukan Menteri Besar negeri itu masih berlarutan.
“Saya datang hari ini nak selesaikan masalah,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita.
Mohamad yang dijangka mempengerusikan mesyuarat berkenaan turut menegaskan sebarang urusan berkaitan pentadbiran negeri perlu diselesaikan mengikut peruntukan perlembagaan dan undang-undang, bukannya melalui jalan pintas.
Beliau berkata, setiap tindakan perlu mengikut tertib bagi mengelakkan timbulnya sebarang masalah dalam proses penyelesaian kemelut berkenaan.
“Negara kita negara yang berperlembagaan, negara yang ada undang-undang. Jadi, semuanya mesti dilakukan dengan betul. Tiada jalan pintas dalam perlembagaan.
“Ikutlah tertib. Jangan ambil jalan pintas. Saya rasa jika dilakukan secara teratur, tidak akan timbul sebarang isu,” katanya.
Kemelut kedudukan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, tercetus pada malam Isnin apabila Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, mengumumkan beliau telah meletakkan jawatan menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi BN.
Zambry mendakwa Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail yang dialamatkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Bagaimanapun, Ismail hari ini menegaskan beliau tidak pernah menyerahkan atau mengizinkan surat peletakan jawatan itu dikemukakan kepada Tuanku Muhriz, selain menyatakan surat berkenaan disimpan oleh kepimpinan partinya.
Beliau turut memaklumkan Tuanku Muhriz menitahkan supaya beliau terus menjalankan tugas bagi memastikan kelangsungan pentadbiran negeri.
Istana Negeri Sembilan pula menjelaskan tidak meminta Ismail kekal sebagai Menteri Besar, sebaliknya menegaskan beliau perlu membuktikan sokongan majoriti berterusan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menentukan kedudukannya, selaras dengan peruntukan perlembagaan.
Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali, berkata perkara itu perlu diselesaikan susulan pertemuan Ismail dengan Tuanku Muhriz di Istana Hinggap pagi tadi.
Istana sebelum ini turut menegaskan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan Perlembagaan Negeri.










