Jika Tiada Bukti, BN-PN Perlu Tarik Balik Tuduhan – PH N.Sembilan

SEREMBAN: Pakatan Harapan Negeri Sembilan (PHNS) menuntut kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menarik balik secara terbuka segala tuduhan tidak berasas terhadap gabungan itu yang dimainkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Majlis Pimpinan Negeri PHNS berkata, tuduhan membabitkan kedaulatan Raja Pemerintah, institusi adat dan kedudukan agama Islam bukan perkara kecil kerana boleh menjejaskan keyakinan rakyat, keharmonian masyarakat serta maruah pihak yang dituduh.

Menurutnya, kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan pada Jumaat berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, sewajarnya membuka ruang kepada rakyat menilai semula tuduhan yang pernah dilemparkan terhadap PHNS.

“Jika pendirian mempertahankan kedudukan DYMM Tuanku Muhriz kini menjadi komitmen kerajaan, mengapakah pendirian yang sama ketika dibawa oleh PHNS dahulu dipersoalkan dan diserang?

“Jika BN-PN mempunyai bukti terhadap dakwaan yang pernah dibuat, kemukakanlah secara terbuka. Jika tidak, adalah wajar tuduhan tersebut ditarik balik dan diperbetulkan,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Dalam kenyataan sama, PHNS merafak sembah dan menjunjung kasih atas kebijaksanaan Tuanku Muhriz dalam memelihara kedaulatan institusi diraja serta memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri terus terjamin.

PHNS turut menegaskan kesetiaan kepada Raja Pemerintah, penghormatan terhadap institusi adat dan kepatuhan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan tidak pernah berubah mengikut kepentingan politik.

Menurut kenyataan itu, PHNS sebelum ini dituduh mencampuri urusan adat, mempengaruhi institusi istana dan mengancam kedudukan agama Islam di negeri berkenaan, khususnya sepanjang kempen PRN.

Bagaimanapun, gabungan itu menegaskan dakwaan kononnya institusi istana dikuasai DAP, urusan adat dicampuri pimpinan PHNS dan kedudukan Islam terancam di bawah pentadbiran terdahulu adalah tidak berasas.

“Sepanjang pentadbiran PHNS, institusi diraja dan adat sentiasa dihormati mengikut kedudukan serta bidang kuasanya.

“PHNS tidak pernah menjadikan institusi diraja, adat dan agama Islam sebagai alat untuk meraih keuntungan politik,” katanya.

Dalam pada itu, PHNS berpandangan rakyat juga berhak mendapat penjelasan mengenai tindakan dan pendirian Menteri Besar dalam kemelut politik serta adat sebelum ini, termasuk persoalan berkaitan Proklamasi yang pernah menjadi pertikaian.

Tambah kenyataan itu, penjelasan secara telus penting bagi mengelakkan percanggahan antara kenyataan, tindakan dan tanggungjawab seorang ketua kerajaan.

PHNS turut membangkitkan pencapaian pentadbiran terdahulu di bawah kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun yang menurutnya tidak sepatutnya dinafikan susulan perubahan kerajaan negeri.

Antara pencapaian yang dinyatakan termasuk pengurusan kewangan, peningkatan hasil, pengukuhan rizab negeri, kemasukan pelaburan serta pelaksanaan program kebajikan dan pembangunan rakyat.

“Perubahan kerajaan adalah sebahagian daripada proses demokrasi. Namun, perubahan kuasa tidak seharusnya mengubah fakta, memadam pencapaian atau menghalalkan tuduhan tanpa bukti,” menurut kenyataan itu.

PHNS berkata, pihaknya akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dengan mempertahankan institusi diraja, menghormati adat dan Perlembagaan serta memperjuangkan dasar yang mengutamakan kebajikan rakyat.

Gabungan itu turut menegaskan bahawa rakyat berhak mengetahui kebenaran berhubung krisis politik dan adat yang berlaku, selain menuntut semua pihak dinilai berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan yang sama.

BBerkaitan

Latest articles