SEREMBAN: 24 ADUN daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menyatakan kesediaan patuh kepada sebarang arahan serta ketetapan pucuk pimpinan.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendirian itu dipersetujui dalam pertemuan khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan, malam tadi, bagi mencari jalan menyelesaikan pergolakan politik yang sedang berlaku.
Beliau berkata, pertemuan selama kira-kira dua setengah jam bermula jam 9 malam itu dihadiri 22 ADUN, manakala dua lagi yang tidak dapat hadir turut memberikan sokongan terhadap keputusan dicapai.
Mereka ialah ADUN Serting, Mohd Fairuz Mohd Isa dan ADUN Sikamat, Datuk Razali Abu Samah yang kini berada di luar negara.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim yang juga ADUN Juasseh turut tidak menghadiri pertemuan berkenaan.
“Semua sepakat untuk akur dan patuh atas apa jua arahan pucuk pimpinan dan ketetapan parti.
“Ini bagi memastikan segala kemelut politik sedang melanda dapat diselesaikan segera demi kestabilan dan kemakmuran rakyat Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan selepas pertemuan itu.
Mohamad bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci keputusan atau tindakan yang bakal diambil oleh kepimpinan parti susulan pertemuan berkenaan.
Perkembangan itu dipercayai berkait dengan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang mengekalkan Ismail sebagai Menteri Besar.










