MELAKA: Ketua DAP Melaka, Khoo Poay Tiong akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka susulan hantaran berhubung arahan penutupan sementara premis perniagaan di Kuala Terengganu setiap Jumaat yang mencetuskan polemik dan menyinggung sensitiviti umat Islam.
Beliau mengakui kelemahan dalam penyampaian pandangannya sebelum ini, khususnya dari segi pemilihan kata-kata dan nada yang digunakan sehingga menimbulkan salah faham serta keresahan dalam kalangan masyarakat.
Khoo berkata, beliau tidak pernah berniat mempertikaikan atau memperkecilkan kepentingan solat Jumaat, malah menghormati agama Islam dan hak umat Islam menunaikan tuntutan ibadah berkenaan.
Menurutnya, sebagai wakil rakyat dan pemimpin, beliau sepatutnya lebih berhati-hati, bertanggungjawab serta sensitif ketika menyuarakan pandangan, terutama apabila membabitkan isu agama dan keharmonian masyarakat majmuk.
Beliau turut menerima segala teguran dan kritikan yang diberikan dengan hati terbuka serta mengakui bertanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan dalam penyampaian kenyataan tersebut.
“Sekali lagi, saya dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung atau terluka dengan hantaran saya.
“Saya akan mengambil iktibar daripada perkara ini dan lebih berhati-hati dalam setiap kenyataan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan permohonan maaf.
Khoo turut menegaskan permohonan maaf itu dibuat dengan penuh keikhlasan susulan kontroversi yang tercetus akibat hantaran berkenaan.










