HANOI: Parlimen Vietnam meluluskan pindaan Kanun Keseksaan bagi memansuhkan hukuman mati terhadap enam jenis kesalahan, termasuk pengedaran dadah secara haram dan rogol terhadap individu berusia bawah 16 tahun.
Agensi Berita Vietnam (VNA) melaporkan, pindaan itu diluluskan pada Jumaat dengan sokongan 463 daripada 472 ahli Perhimpunan Kebangsaan yang hadir.
Undang-undang baharu itu dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Mac 2027.
Menteri Keselamatan Awam Vietnam, Jeneral Luong Tam Quang berkata, cadangan memansuhkan hukuman mati bagi enam kesalahan itu dikekalkan dalam pindaan berkenaan dengan hukuman penjara seumur hidup sebagai hukuman maksimum.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan pendekatan lebih berperikemanusiaan, hukuman setimpal dengan kesalahan serta selaras dengan perkembangan amalan perundangan antarabangsa, selain mengekalkan ketegasan dalam usaha membanteras jenayah.
Enam kesalahan yang tidak lagi boleh dikenakan hukuman mati ialah pemberontakan, pengedaran bahan narkotik secara haram, rogol terhadap individu berusia bawah 16 tahun, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan keganasan bertujuan menentang pentadbiran rakyat.
Bagaimanapun, Vietnam masih mengekalkan hukuman mati bagi empat kesalahan iaitu pengkhianatan terhadap negara, pembunuhan, keganasan dan pengeluaran bahan narkotik secara haram.
Dalam perkembangan sama, pindaan itu turut memperkenalkan peruntukan yang membolehkan mahkamah menjatuhkan hukuman lebih ringan daripada had minimum ditetapkan bagi kesalahan tertentu terhadap tertuduh yang secara sukarela mengaku kesalahan, bekerjasama dengan pihak berkuasa dan menerima hukuman dicadangkan.
Langkah itu turut mengambil kira usaha tertuduh membayar ganti rugi serta memperbaiki kesan daripada kesalahan dilakukan.
VNA turut melaporkan, pindaan Kanun Keseksaan berkenaan mengandungi 25 bab dan 417 perkara, selain merangkumi beberapa perubahan berkaitan keadilan jenayah serta usaha pencegahan jenayah.
Pindaan terbaharu itu meneruskan usaha reformasi undang-undang Vietnam selepas negara berkenaan memansuhkan hukuman mati bagi lapan kesalahan lain menerusi pindaan undang-undang pada Julai 2025.










