JPMorgan, Visa, Mastercard jadi sasaran serangan siber, data pelanggan terdedah

NEW YORK: JPMorgan Chase, Visa dan Mastercard mengesahkan penyedia perkhidmatan pihak ketiga yang mempunyai hubungan dengan ketiga-tiga syarikat itu menjadi sasaran serangan siber sehingga menyebabkan sebahagian maklumat pelanggan berpotensi diakses penggodam.

Menurut laporan Reuters pada Khamis, serangan tersebut dipercayai membabitkan akses kepada data pemasaran yang disimpan oleh vendor berkenaan, termasuk nama dan alamat e-mel pelanggan.

Jurucakap JPMorgan berkata, siasatan awal mendapati penyerang dipercayai berjaya mengakses sebahagian maklumat berkenaan.

“Berdasarkan siasatan kami setakat ini, kami percaya penyerang telah mengakses data pemasaran tertentu yang disimpan oleh vendor berkenaan, yang mungkin merangkumi beberapa nama dan alamat e-mel pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, pihak bank akan menghubungi pelanggan yang terjejas secara langsung.

Bagaimanapun, JPMorgan menegaskan insiden itu tidak menjejaskan operasi perbankannya dan tidak mempunyai kaitan dengan gangguan perkhidmatan yang dialami sebahagian pelanggan pada awal minggu ini.

Visa pula mengesahkan insiden berkenaan mempunyai kaitan dengan penyedia perkhidmatan pihak ketiga di rantau Asia Pasifik.

Jurucakap syarikat itu berkata, sistem Visa tidak terlibat atau terjejas dalam insiden berkenaan, manakala maklumat pembayaran termasuk nombor kad pelanggan tidak terdedah.

Sementara itu, Mastercard memaklumkan pihaknya dimaklumkan mengenai insiden di sebuah penyedia perkhidmatan pihak ketiga yang mengakibatkan pendedahan sejumlah kecil alamat e-mel pemegang kad.

Menurut syarikat itu, maklumat berkenaan bukan data pembayaran dan hanya melibatkan sebahagian kecil pelanggan yang menyertai program manfaat tertentu.

Mastercard turut menegaskan rangkaian pembayarannya tidak terjejas dan pelanggan masih boleh menggunakan kad masing-masing seperti biasa.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan pemerasan siber dikenali sebagai n0n pada 16 November lalu mendakwa berjaya memperoleh rekod interaksi pelanggan kad yang mengandungi ratusan ribu rekod kempen pemasaran melibatkan puluhan ribu alamat e-mel pelanggan.

Semakan Reuters terhadap data yang diterbitkan kumpulan itu menemui lebih 16,000 alamat e-mel pelanggan JPMorgan, sebahagiannya disertakan nombor telefon dan kod pos, selain 124 alamat e-mel yang dipercayai milik kakitangan bank berkenaan.

Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas kesahihan data yang didakwa diperoleh kumpulan berkenaan.

Data yang dikaitkan dengan Visa pula dipercayai melibatkan pelanggan di beberapa pasaran Asia Pasifik termasuk Malaysia, Singapura, Hong Kong, Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Filipina, Australia dan Macau.

Sementara itu, data yang dikaitkan dengan Mastercard merangkumi maklumat pemasaran pelanggan di Amerika Utara, Timur Tengah dan Afrika.

Menurut laporan itu, kumpulan n0n dipercayai telah mendakwa terlibat dalam kira-kira 200 insiden sejak muncul pada September lalu, berdasarkan maklumat platform penyelidikan jenayah siber eCrime.ch.

Mengulas risiko keselamatan akibat insiden berkenaan, Carissa Robb daripada firma perunding SolomonEdwards berkata, pelanggan lazimnya tidak membezakan antara bank dengan vendor yang menyediakan perkhidmatan kepada institusi kewangan apabila berlaku serangan siber.

“Pelanggan tidak membezakan antara bank dengan vendor apabila berlaku serangan siber, justeru timbul persoalan mengenai risiko reputasi,” katanya.

Beliau turut berpandangan syarikat perlu meningkatkan penelitian terhadap jumlah data yang dikongsi dengan vendor serta keperluan sebenar untuk berkongsi maklumat berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles