KUALA LUMPUR: Ketua DAP Melaka, Khoo Poay Tiong digesa menarik balik kenyataannya berhubung arahan penutupan premis perniagaan ketika solat Jumaat di Terengganu serta memohon maaf susulan kenyataan yang didakwa tidak menghormati undang-undang negeri dan sensitiviti agama.
Pengarah Komunikasi PKR, Adam Adli berkata, Ahli Parlimen Kota Melaka itu sepatutnya lebih berhati-hati dalam mengulas isu berkenaan dengan mengambil kira peraturan yang berkuat kuasa serta sensitiviti masyarakat Islam.
Beliau menegaskan tidak bersetuju dengan kenyataan Khoo dan menasihatinya supaya menghormati kedaulatan undang-undang serta sensitiviti agama ketika membangkitkan perkara itu.
“Saya tidak boleh bersetuju dengan kenyataan ini. Saya nasihatkan YB Khoo agar menghormati kedaulatan undang-undang di negeri masing-masing, serta sensitiviti beragama dalam mengulas perkara ini.
“Sehubungan itu, saya memohon Khoo menarik semula kenyataan berkenaan dan membuat permohonan maaf,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Khoo menerusi hantaran di Facebook menyuarakan kebimbangan terhadap arahan penutupan premis perniagaan di Terengganu dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat.
Beliau berpandangan pelaksanaan peraturan secara menyeluruh berpotensi menjejaskan kebebasan berniaga, khususnya bagi peniaga bukan Islam yang tidak mempunyai kewajipan menunaikan solat Jumaat.
Khoo turut mengaitkan arahan itu dengan pengaruh dasar keagamaan konservatif dalam pentadbiran awam, namun menegaskan bahawa beliau menghormati kewajipan umat Islam menunaikan solat Jumaat.
Dalam pada itu, beliau menggesa supaya pendekatan lebih inklusif diambil bagi memastikan kepentingan peniaga bukan Islam turut dipertimbangkan dalam pelaksanaan peraturan berkenaan.
Bagaimanapun, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada Januari 2024 pernah menjelaskan bahawa arahan penutupan selama dua jam itu tidak terpakai kepada premis milik bukan Islam, kecuali premis makanan yang mempunyai pekerja Muslim.










