Untung Teras YTL Power RM608.2 Juta, Pusat Data Melonjak Hampir Enam Kali Ganda

KUALA LUMPUR: Segmen pusat data terus menjadi pemacu pertumbuhan YTL Power International Bhd (YTLP) apabila mencatat peningkatan keuntungan sebelum cukai hampir enam kali ganda kepada RM139.5 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27), sekali gus mengimbangi kelemahan beberapa segmen perniagaan lain.

Bagi suku berakhir 30 September 2026, kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih teras RM608.2 juta, merosot 5.9 peratus berbanding suku sebelumnya dan 2.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, hasil kumpulan melonjak 40.7 peratus tahun ke tahun kepada RM7.54 bilion, disokong terutama oleh pertumbuhan segmen utiliti pelbagai serta pusat data.

Menurut HLIB Research, prestasi keuntungan teras YTLP itu berada dalam lingkungan jangkaan, masing-masing mewakili 27.7 peratus daripada unjuran pendapatan tahunan firma berkenaan dan 26 peratus daripada anggaran konsensus pasaran.

Keuntungan bersih dilaporkan pula berjumlah RM460.6 juta selepas mengambil kira item luar biasa bersih RM147.5 juta, termasuk peruntukan RM46.3 juta dan cukai tertunda RM114.7 juta, yang sebahagiannya diimbangi keuntungan pelupusan serta pertukaran asing.

Tiada dividen diumumkan bagi suku berkenaan.

Segmen pusat data YTLP terus menunjukkan pertumbuhan ketara apabila hasil meningkat hampir enam kali ganda kepada RM329.4 juta, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan itu didorong pertambahan kapasiti yang telah dikomersialkan kepada 160 megawatt (MW), dengan kumpulan menyasarkan kapasiti keseluruhan mencecah 298MW menjelang akhir 2027.

HLIB Research berpandangan YTLP berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan permintaan global yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan kolokasi pusat data, khususnya dengan pemilikan tanah dan infrastruktur sedia ada serta perkembangan pemasangan unit GPU baharu.

Pengurusan kumpulan turut menjelaskan YTLP tidak berada di bawah siasatan berhubung isu Megaspeed/Speedmatrix, selain menegaskan rangka kerja RASA yang dikemas kini hanya terpakai kepada entiti dagangan dan tidak melibatkan perkhidmatan kolokasi pusat data.

Penurunan keuntungan teras berbanding suku sebelumnya sebahagian besarnya disebabkan sumbangan lebih rendah daripada Ranhill susulan kos penyelenggaraan yang dipercepatkan.

Prestasi suku keempat FY26 sebelum ini turut mendapat manfaat daripada pelarasan tertunggak melebihi RM100 juta bagi dua kontrak pusat data, menyebabkan asas perbandingan lebih tinggi.

Bagaimanapun, kesan tersebut sebahagiannya diimbangi prestasi lebih baik Power Seraya di Singapura, susulan harga elektrik pasaran yang lebih tinggi.

Bagi perbandingan tahunan, kelemahan sumbangan Seraya akibat margin runcit yang mengecil hampir sepenuhnya ditampung pertumbuhan segmen pusat data.

Dalam segmen utiliti, pembinaan loji kitaran gabungan turbin gas (CCGT) berkapasiti 600MW yang sedia menggunakan hidrogen di Singapura kekal mengikut jadual untuk disiapkan menjelang akhir 2027.

Sementara itu, ladang solar berkapasiti 215MWac untuk kegunaan sendiri dijangka memulakan operasi komersial pada suku kedua FY27.

HLIB Research turut menjangkakan YTLP berpotensi menjadi antara pengeluar tenaga bebas (IPP) utama di Malaysia, susulan kumpulan memperoleh tujuh unit CCGT daripada Siemens.

Dalam segmen air, sumbangan Wessex Water di United Kingdom terus meningkat berikutan kenaikan tarif tahunan pada April lalu, dengan potensi kenaikan sekitar sembilan peratus lagi mulai April 2027.

Sumbangan Ranhill pula dijangka pulih dalam suku akan datang apabila aktiviti penyelenggaraan kembali normal.

HLIB Research mengekalkan saranan BELI terhadap saham YTLP dengan harga sasaran RM8.08, berdasarkan diskaun 10 peratus kepada penilaian jumlah bahagian (SOP) cair penuh sebanyak RM8.98.

Berdasarkan harga saham RM4 ketika laporan itu disediakan, sasaran berkenaan menawarkan potensi kenaikan kira-kira 102 peratus.

Firma penyelidikan itu turut menaikkan unjuran pendapatan FY27 sebanyak 1.3 peratus dan FY28 sebanyak 5.6 peratus, selain memperkenalkan unjuran FY29 sebanyak RM2.8 bilion.

HLIB Research menyifatkan penjualan saham YTLP baru-baru ini sebagai peluang menarik bagi pelabur untuk mengumpul saham syarikat berkenaan, dengan pertumbuhan pusat data dijangka terus menjadi pemacu utama prestasi kumpulan dalam tempoh mendatang.

BBerkaitan

Latest articles