KUALA LUMPUR: Transaksi Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) dengan syarikat Al-Rawda membabitkan nilai RM137 juta didapati tidak selari dengan kelulusan asal Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi urusan pajakan Hotel Umm Al-Qura di Makkah.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, berdasarkan semakan dan maklumat terkini pada 30 September 2026, keseluruhan transaksi berkenaan sebenarnya dilaksanakan menerusi pembiayaan Commodity Murabahah Agreement (CMA) atau struktur hutang.
Menurutnya, KPF melaksanakan kaedah berkenaan atas nasihat pasukan perundangannya yang berpandangan entiti asing tidak dibenarkan memajak hartanah di Makkah melebihi tempoh dua tahun.
“Keseluruhan transaksi ini adalah pembiayaan Commodity Murabahah Agreement (CMA) (debt structure) di mana ia tidak selari dengan kelulusan pajakan yang diberikan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang meminta penjelasan sama ada pinjaman sehingga RM127 juta diberikan KPF kepada Al-Rawda selari dengan Seksyen 51(1) Akta Koperasi 1993 dan Fasal 66 Undang-Undang Kecil KPF serta status bayaran balik hutang syarikat berkenaan.
Menurut Steven, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menerusi surat bertarikh 16 Jun 2014 meluluskan cadangan KPF memajak Hotel Umm Al-Qura di Makkah daripada Al-Rawda bernilai SAR160 juta (RM137 juta) bagi tempoh 10 tahun.
Bagaimanapun, Al-Rawda didapati memungkiri terma dan syarat perjanjian apabila gagal membuat bayaran mengikut jadual yang dipersetujui.
Susulan itu, KPF memulakan tindakan undang-undang terhadap syarikat berkenaan pada 30 Mei 2018.
Dalam perkembangan berkaitan, KPF sudah menerima bayaran keseluruhan SAR93.96 juta (RM95.78 juta) daripada Al-Rawda, merangkumi SAR65.77 juta (RM67.04 juta) bayaran prinsipal dan SAR28.19 juta (RM28.74 juta) keuntungan.
Pada 3 Jun 2026, keputusan timbang tara oleh GCC Commercial Arbitration Centre (GCCCAC), Bahrain memihak kepada KPF dengan jumlah SAR158.01 juta (RM172.94 juta).
Steven berkata, keputusan itu memberikan hak kepada KPF untuk menuntut jumlah berkenaan, tertakluk kepada proses pengiktirafan dan penguatkuasaan di Arab Saudi.
“KPF dalam proses mendapatkan khidmat firma guaman tempatan (Arab Saudi) untuk pelaksanaan keputusan Timbang Tara Arbitrasi (Enforcement of Judgement) di Enforcement Court, Arab Saudi,” katanya.










