SEREMBAN: Kemelut kepimpinan Negeri Sembilan menyaksikan perkembangan terbaharu apabila Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menitahkan Datuk Ismail Lasim meneruskan khidmat sebagai Menteri Besar bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri.
Ismail mengesahkan titah berkenaan selepas menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, hari ini, sambil menegaskan komitmennya untuk terus menjalankan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi.
Beliau turut menjelaskan bahawa tidak pernah mengemukakan mahupun memberi persetujuan supaya surat peletakan jawatan Menteri Besar bertarikh 16 November lalu diserahkan kepada Tuanku Muhriz.
“Saya ingin menjelaskan berhubung laporan mengenai surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang bertarikh 16 Nov lepas, saya tidak ada mengemukakan mahupun memberikan persetujuan untuk surat tersebut dikemukakan kepada Tuanku Muhriz,” katanya kepada pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar, hari ini.
Ismail berkata, beliau akan terus memberikan komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri Besar demi kepentingan negeri dan rakyat.
Terdahulu, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh tiba di Istana Hinggap pada 10.17 pagi untuk menghadap Tuanku Muhriz susulan kemelut politik yang melanda Negeri Sembilan.
Turut hadir menghadap ialah Undang Luak Rembau, Hassan Ab Hamid; Undang Luak Sungai Ujong, Muhammad Faris Johari; serta Undang Luak Jelebu, Azrin Khairi.
Ismail sebelum ini dilaporkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada Isnin, selepas mengangkat sumpah jawatan berkenaan pada 2 Ogos lalu.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan pada Selasa menjelaskan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Tuanku Muhriz turut berkenan menerima menghadap Ismail pada hari sama, dengan sesi berlangsung kira-kira satu jam setengah, bermula 5 petang hingga 6.30 petang.










